Dialog TN50 permulaan terbaik corak masa depan negara - Irmohizam
Bernama
Januari 20, 2017 18:03 MYT
Januari 20, 2017 18:03 MYT
Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah platform untuk generasi hari ini memberikan visi masa depan yang diimpikan dan permulaan untuk mencorakkan Malaysia ke arah yang lebih baik, kata anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.
Presiden Majlis Belia Selangor itu berkata merealisasikan sesuatu perancangan bukanlah hanya di atas kertas atau sekadar ucapan di atas pentas, tetapi mesti dilakukan seperti yang dimaksudkan.
"Tempoh 30 tahun adalah tempoh yang amat sesuai untuk merealisasikan TN50, ini kerana perancangan yang teliti sudah pasti akan membuahkan hasil.
"Tidak dapat dinafikan bahawa kerelevanan tempoh 30 tahun ini adalah juga merupakan kesinambungan daripada dasar-dasar sebelumnya. Mengambil contoh pembinaan MRT, dahulunya ia sebuah perancangan di atas kertas dan telah menjadi kenyataan setelah enam tahun dalam pembinaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya kerajaan tidak akan terburu-buru melaksanakan sesuatu perkara kerana ia melibatkan keyakinan dan kepercayaan dan melalui konsep pelaksanaan TN50 yang teliti, sudah pasti ia akan membuahkan hasil.
Menjelas lanjut, Irmohizam berkata TN50 bukan menutup Wawasan 2020 kerana dasar itu bukanlah penamat, sebaliknya negara perlu lebih proaktif dalam mencipta masa hadapan melalui citarasa sebenar rakyat Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi melancarkan TN50 dan meluangkan masa berdialog bersama 500 peserta merentasi semua komuniti belia dari semua negeri di Malaysia bagi mendapatkan input keperluan warga Malaysia pada masa depan.
TN50, yang digagaskan Najib, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
-- BERNAMA