Dialog Tiga Penjuru malam ini: Cerita harga barang, mencari titik tengah keuntungan peniaga-pengguna
Israr Khalid
Disember 2, 2021 17:35 MYT
Disember 2, 2021 17:35 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika kes jangkitan baharu COVID-19 mulai menurun, ada pula benda lain yang naik. Baru-baru ini, kecoh satu Malaysia susulan beberapa kes makanan di restoran yang harganya tidak masuk akal.
Apabila diminta penjelasan, ada daripada kalangan peniaga menyatakan bahawa mereka terpaksa menaikkan harga hidangan seiring peningkatan harga barang-barang asas.
Ada kebenarannya, apabila barang-barang keperluan asas seperti sayur-sayuran dan beberapa lagi barang dapur naik harga sejak kebelakangan ini.
Kenaikan harga barang bukan perkara baharu, tetapi ia menjadi satu isu yang hboh diperkatakan ketika ini lantaran ekonomi rakyat di seluruh negara masih belum pulih.
Walaupun sudah semakin banyak sektor dibuka dan kembali beroperasi hampir seperti dahulu, rakyat masih merangkak untuk bangkit membina semula kehidupan selepas teruk dipukul pandemik.
Tidak dapat dinafikan sudah diketahui sebabnya. Penjual mahu mengambus kerugian selepas lebih setahun bisnes tak berapa nak jalan, habis... pengguna pula bagaimana?
Siapakah pihak yang bertanggungjawab dalam soal ini? Pembekal? Pemborong? Peruncit? Bagaimana boleh dibiarkan mereka ini mengambil kesempatan daripada keadaan semasa?
Ia bersangkut dengan pihak yang berkuasa dan terus kepada kepimpinan kerajaan. Timbul persoalan juga mengapa perkara ini tidak dapat dijangka dengan lebih awal, atau mungkin ‘terlepas pandang’?
Sekalipun ‘terlepas pandang’, apakah tindakan tebatan atau campur tangan daripada mereka yang berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini supaya setiap pihak, baik penjual mahupun pengguna, berada dalam keadaan menang-menang, tak siapa rugi dan tiada yang untung lebih.
Ini yang akan kita bincangkan malam ini di pentas Dialog Tiga Penjuru, di mana kami pertemukan Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Tambirajah; Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Ameer Ali Mydin.
Jam 8.30 malam hanya di saluran 501 dan astroawani.com.