Dialog Shangri-La 2022: Isu Laut China Selatan, Selat Melaka dan ekonomi dijangka disuarakan Malaysia
Fareez Azman
Jun 10, 2022 18:48 MYT
Jun 10, 2022 18:48 MYT
KUALA LUMPUR: Isu keselamatan Laut China Selatan, Selat Melaka serta pemulihan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19 antara yang dijangka disuarakan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-19, Dialog Shangri-La (SLD) yang berlangsung hari ini di Singapura.
Menurut Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, ia amat penting dalam memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan negara kuasa besar.
"Kedua-dua mereka iaitu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan membawa perspektif Malaysia.
"Kalau kita lihat dasar luar kita lebih people centric, dimana merakyatkan dasar luar itu secara umum. Ini juga berkait rapat dengan Komuniti ASEAN yang dilancarkan pada 2015, sekarang sedang berlangsung.
"Dalam konteks keselamatan pula, kita bimbang mengenai isu Laut China Selatan dan kita mahu ada dialog terus berkenaan isu ini supaya Code of Conduct dikuatkuasakan dan kekal aman, perdagangan dunia boleh dijalankan di rantau ini," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Malaysia juga jelas Azizuddin boleh terus memberi tekanan kepada dunia bagi penyelesaian konflik Ukraine-Rusia yang memberi kesan kepada ekonomi serantau.
Pada masa sama, isu Rohingya di Myanmar juga ujarnya akan turut diberi perhatian agar penyelesaian jangka panjang dapat dirangka di negara itu.
"Perkara kedua, berkaitan isu ketenteraan sebab ada perang Ukraine-Rusia, kita tidak mahu perang itu merebak ke rantau lain dan berlaku peperangan, kita tak mahu itu berlaku.
"Itu mungkin akan diperdebatkan dan ketiga pula iaitu isu ekonomi era pasca pandemik COVID-19," katanya lagi.
Dari konteks kepentingan nasional pula katanya, Malaysia boleh mengetengahkan perspektif Keluarga Malaysia kepada dunia dan Asia Pasifik.
Ia bagi mempromosikan jalinan kerjasama lebih utuh di antara negara-negara terlibat meliputi semua aspek.
"Wakil negara kita boleh membawa agenda perspektif Malaysia untuk melihat rantau ini lebih aman.
"Juga menyumbang idea diketengahkan perdana menteri Malaysia iaitu Keluarga Malaysia, ini mungkin juga cuba menjelaskan dalam konteks keluarga global yang lebih besar supaya kebergantungan itu sangat kuat antara satu negara dengan lain," katanya lagi.
Dialog Shangri-La ke-19 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Singapura dijangka dihadiri 37 delegasi peringkat Menteri dan lebih 30 pegawai kanan pertahanan termasuk Panglima Angkatan Tentera serta ahli akademik terkemuka dari 42 negara yang mengambil bahagian.
Antaranya Amerika Syarikat, China, Jepun, Indonesia, United Kingdom, India, Perancis dan Thailand.
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, dijadual menyampaikan ucaptama pada hari pertama persidangan, manakala Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut akan menyampaikan ucapan khas secara maya pada Sabtu.