Dialog Sarawak dan Petronas berhasil - Abang Johari

Bernama
Ogos 22, 2022 07:30 MYT
Abang Johari berkata, antara bidang yang boleh diterokai Sarawak adalah pengeluaran komposit yang merupakan salah satu elemen penting aeroangkasa. - Facebook Sarawakku
BINTULU: Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Dialog Strategik Tahunan Sarawak-Petronas 2022 yang diadakan di sini semalam sangat membuahkan hasil.
Beliau tanpa mengulas lanjut memberitahu, dialog itu membincangkan perkembangan industri minyak dan gas di Sarawak, peranan kerajaan negeri dalam Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) serta kerjasama antara Petronas dan SEDC Energy Sdn Bhd.
Perbincangan itu turut menyentuh mengenai Kemudahan Jualan Gas Tambahan Bintulu 2 (BAGSF-2) di Tanjung Kidurong yang akan membekalkan gas asli kepada loji metanol milik kerajaan negeri, Sarawak Petchem Sdn Bhd (SPSB) dan loji janakuasa Sarawak Energy Bhd (SEB).
"Fasiliti ini amat bermakna kepada kami. Gas yang dibekalkan akan memberi manfaat kepada aktiviti hiliran Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Modular dari Vietnam dan Penyerahan Simbolik Sukuk bernilai RM4 bilion di Loji Metanol Petchem Sarawak, Tanjung Kidurong semalam.
Beliau ketika mengulas mengenai loji metanol tersebut berkata dalam tempoh empat bulan lepas, kontraktor tempatan serta asing telah membina bangunan termasuk pemasangan komponen terpenting kilang dan pada masa yang sama, pekerja tempatan dilatih dalam proses pengeluaran metanol serta teknologinya.
Sarawak & Petronas | Kerjasama tiga sektor utama ekonomi baharu dikenal pasti
"Ini akan menjadi pemangkin kepada aspirasi kita dalam mewujudkan hab petrokimia di Sarawak khususnya di Bintulu. Berikutan penemuan medan gas yang baharu, adalah penting untuk kita mempunyai pelan hala tuju ke arah usaha hiliran yang berkaitan dengan gas berkenaan," katanya.
Antara bidang yang boleh diterokai adalah pengeluaran komposit yang merupakan salah satu elemen penting aeroangkasa menerusi pembuatan pesawat disebabkan keringanan bahan itu.
Abang Johari berkata jika Sarawak boleh berbuat demikian, ia akan mampu menarik minat pihak-pihak berkepentingan dalam aeroangkasa untuk melabur dan mengeluarkan komponen pesawat di sini.
"Mungkin kita boleh menjadi pembekal salah satu komponen pesawat," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Pengerusi Sarawak Petchem Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata secara keseluruhan, pembinaan loji metanol tersebut telah mencapai 60 peratus.
Katanya, Sarawak Petchem telah berjaya memperoleh dana sukuk bernilai RM4 blion untuk membiayai pembangunan projek itu daripada pelbagai pelabur.
-- BERNAMA
#Petronas #Abang Johari Tun Openg #Dialog Strategik Tahunan Sarawak-Petronas #Abdul Aziz Husain
;