Dialog Perpaduan akan jelajah di 18 lokasi bermula Sabtu

Astro Awani
Februari 18, 2014 23:26 MYT
Kanak-kanak berbagai kaum merayakan Tahun Baru Cina (foto: Bernama)
Seringkali bila timbul isu yang melibatkan ketegangan kaum, masyarakat diajak untuk menjaga dan mengekalkan perpaduan yang telah sekian lama terjalin.
Masyarakat, terutama rakyat diperingkat akar umbi sering diingatkan bahawa tanpa perpaduan, negara akan pontang panting, ekonomi tidak stabil dan berbagai masalah lagi.
Tetapi, realitinya, masyarakat di peringkat akar umbi mempunyai pandangan yang sama sekali berbeza mengenai perpaduan berbanding apa yang dibicarakan di media dan juga pemimpin atau ahli politik.
Bagi memberi peluang kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan idealogi memberikan pandangan mengenai perpaduan,Majlis Perundingan Perpaduan Kebangsaan (NUCC) dengan kerjasama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mengadakan 18 sesi dialog yang akan bermula Sabtu depan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Felo Penyelidik Utama KITA, UKM, Anis Yusal Yussuf menjelaskan suara diperingkat akar umbi perlu didengari jika pemimpin benar mahukan perpaduan.
"Suara masyarakat diakar umbi penting kerana dari situ kita akan faham apa yang rakyat mahukan dan sebagai pemimpin kita perlu bersifat terbuka.
"Pemimpin yang baik dan bijak ialah pemimpin yang bersedia untuk mendengar pandangan dari akar umbi," katanya ketika menjadi tetamu program Agenda Awani yang membincangkan tajuk Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi.
#anis yusal yussuf #KITA #NUCC #perpaduan