Dialog CEO APEC Malaysia 2020 penghubung pemimpin kerajaan, perniagaan

Harits Asyraf Hasnan
November 18, 2020 06:47 MYT
Ia akan membincangkan komitmen terhadap pasaran terbuka, integrasi, keterangkuman dan kemampanan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi dan kestabilan dalam komuniti APEC. -Foto ABAC
KUALA LUMPUR: Para pemimpin dan industri dari 21 anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bakal berkongsi pandangan serta hala tuju ekonomi rantau ini berkait cabaran dan impak pandemik COVID-19 menerusi Dialog CEO APEC yang bermula pagi ini.
Program selama dua hari dengan tema "APEC Re-Imagined: Priorities in the Aftermath of COVID-19" akan menumpukan perbincangan terhadap cabaran ketara rantau ini serta dunia dan bentuk kerjasama kerajaan mahu pun sektor swasta untuk memacu pertumbuhan berikutan pandemik itu.
Malaysia selaku tuan rumah APEC 2020 bakal membuka tirai dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Datuk Rohana Mahmood dan Pengerusi Dialog CEO APEC Malaysia 2020, Datuk Ruben Gnanalingam.
Ia akan disusuli ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mengalu-alukan para delegasi yang bersatu di dalam satu platform maya.
Selain Muhyiddin, turut mengesahkan penyertaan pada sesi dialog ini adalah Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga; Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha.
Dialog ini juga merupakan forum untuk para pemimpin rantau ini membincangkan komitmen terhadap pasaran terbuka, integrasi, keterangkuman dan kemampanan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi dan kestabilan dalam komuniti tersebut.
Selain pemimpin APEC, ia turut disertai penggiat industri global, usahawan, pemimpin pemikir yang disegani serta pakar dari serata rantau.
#Muhyiddin Yassin #Joko Widodo #Xi Jinping #COVID-19 #pandemik #APEC 2020 #APEC #MyAPEC2020
;