Dialog antara agama diperlukan, kata Shabery

Astro Awani
Oktober 15, 2013 14:10 MYT
Menteri Komunikasi, dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berharap dialog antara agama diteruskan bagi memberi pemahaman mengenai sensitiviti agama kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Jelasnya, ia berikutan semua agama ada tafsiran tersendiri dan perlu difahami bagi mengelak sebarang kekeliruan berlaku dalam masyarakat.
Ahmad Shabery berkata, dialog antara agama juga memberi pemahaman mengenai sosisologikal masyarakat berhubung kepercayaan agama masing-masing.
"Dialog boleh diteruskan kerana apa yang maksudnya masing-masing memahami sensitiviti misalnya nak lihat teologi pemahaman antara perbandingan ketuhanan sudah tentu ada hujah, tapi buatkan orang mengamuk, lemparkan batu sebab marah masyarakat melihat ia senang. Sebab tu undang-undang mesti digunakan untuk memelihara ketenteraman awam,” katanya.
Beliau pada masa sama menggesa semua pihak menerima dan patuh dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang The Herald menggunakan kalimah Allah.
Beliau juga berharap tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mempolitikkan isu berkenaan kerana ia dianggap sudah selesai.
Tambahnya, semua penerbitan terlibat yang sudah dikeluarkan dan menggunakan kalimah Allah perlu ditarik balik dengan segera.
Ahmad Shabery ditemui semasa menghadiri majlis korban di Surau Muhammadi, Angkasapuri, kuala lumpur.
#agama #Allah #komunikasi #Multimedia #Shabery Cheek #The Herald