Diabetes: Genetik antara punca kes tinggi dalam kalangan kaum tertentu

Umavathi Ramayah
Januari 30, 2021 17:01 MYT
Dr Wan Mohamad Wan Bebakar berkata, besar kemungkinan bilangan kes diabetes yang tinggi dalam kalangan kaum India disumbangkan oleh faktor genetik. - Gambar hiasan/AFP
KUALA LUMPUR: Penyakit diabetes dalam kalangan masyarakat India direkodkan lebih tinggi dengan 30 peratus berbanding kaum-kaum lain di Malaysia.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) itu mendapati kaum Melayu hanya merekodkan 20 peratus sementara kaum Cina pula 15 peratus.
Pakar Endokrinologi, Prof Datuk Dr Wan Mohamad Wan Bebakar berkata, besar kemungkinan ia disumbangkan oleh faktor genetik.
"Besar kemungkinan faktor genetik menyebabkan statistik pesakit kardiovaskular meningkat," katanya pada sidang media panduan amalan klinikal Malaysia bagi mempromosikan kejayaan pendekatan dan penyelesaian untuk pengurusan diabetes yang dikendalikan secara maya di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan berasingan, pakar Endokrinologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein berkata, tinjauan NHMS yang sama mendapati kira-kira enam peratus daripada rakyat Malaysia yang berusia 18 hingga 30 tahun menghidap diabetes.
Lebih membimbangkan katanya, adalah, lebih 80 hingga 90 peratus daripada mereka tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit itu.
"Ini kerana mereka tidak mempunyai gejala dan ekoran itu mereka merasakan mereka muda dan sihat," jelasnya lagi.
#diabetes #kaum india #tiada gejala #Endokrinologi #Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi
;