'Dia seorang yang baik hati dan rajin' - Ibu mertua sedih kehilangan menantu
Adie Sufian Zulkefli
November 4, 2021 13:07 MYT
November 4, 2021 13:07 MYT
KUBANG PASU: Kehilangan seorang menantu yang baik hati dan rajin.
Itu perasaan pilu yang terungkap dari Noraini Mustafa, 45, ibu mertua terhadap Omar Ismail, 22, mangsa pertama lemas ketika memukat ikan bersama bapa mertuanya di kawasan sawah yang di Kampung Seluang, Kubang Pasu.
Menceritakan kembali kejadian, Noraini berkata dia mengetahui menantunya itu pergi memukat ikan bersama suaminya pada jam 10 pagi semalam.
Katanya, anaknya yang juga isteri mangsa Nordiana Md Razi, 25, ada menghubunginya melalui pesanan ringkas WhatsApp namun perbualan itu terhenti pada jam 12 tengah hari dan kiriman pesanan anaknya itu tidak berbalas.
"Kali terakhir mak cik mengbungi dia pada jam 11 lebih. Mak cik tau dalam pukul 2 lebih, sebab mereka datang, selam dulu, lepas tidak jumpa, baru mereka beritahu mak cik," katanya.
Katanya, menantunya itu telah dua tahun berkahwin dengan anaknya dan mempunyai seorang anak berusia setahun.
Menurut ibu kepada dua anak ini, dia sedih dengan kejadian yang menimpa menantunya itu, namun redha dengan ketentuan Allah.
Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, ini kejadian pertama mangsa lemas ketika banjir melanda negeri ini sejak dua minggu lalu.
Katanya, mayat mangsa ditemui pada jarak kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Mayat mangsa ditemui pada kedalaman satu meter dalam keadaan tertiarap di dasar oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 9.20 pagi tadi.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) Kampung Kubu sebelum diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam kejadian jam 3 petang semalam, mangsa dikatakan bersama bapa mentuanya datang ke lokasi itu untuk memukat ikan.
Mangsa dikatakan terjatuh sebelum dihanyutkan arus limpahan air banjir.