'Dia harapan keluarga tetapi hari ini dia syahid'

Rohana Wahed
Oktober 4, 2018 10:35 MYT
HALIMAH: Saya bangga kerana dia pergi sebagai wira negara. - Astro AWANI
Remuk dan runtun.
Itulah situasi yang digambarkan di rumah Allahyarham Yahya Ali, 24 tahun, yang lemas bersama lima anggota bomba lain ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Lombong Taman Putra Perdana berhampiran Perumahan Lokatish, Selangor malam tadi.
Ibunya, Halimah Geronggong, 42 tahun, masih tidak percaya bahawa semalam merupakan hari terakhir anaknya bertugas.
"Saya bangga kerana dia pergi sebagai wira negara," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Halimah dan keluarga mendapat makluman berita mendukacitakan itu sekitar jam 12:30 malam Khamis.
Bukan sahaja terkejut, Halimah terus hilang kata-kata kerana Yahya baru sehari menghubunginya bertanyakan khabar.
"Dia bertanya khabar keluarga dan tiada apa perubahan berlaku. Dia ceria macam biasa," katanya.
Tambah Halimah, menjadi anggota bomba dan penyelamat sudah menjadi cita-cita anaknya sejak kecil.
"Dia anak sulung daripada empat beradik, dia harapan keluarga tetapi hari ini dia syahid.
"Impian arwah menjadi kenyataan apabila lulus temu duga bomba pada tahun 2014," tambahnya sambil menggambarkan arwah seorang yang baik hati, aktif bersukan, dan anak yang mendengar kata.
Biarpun masih terkejut, Halimah sekeluarga tetap redha dengan ketentuanNya.
BACA: Penghormatan terakhir buat anggota bomba lemas
BACA: Tragedi pertama kehilangan enam anggota serentak dalam insiden operasi
BACA: Bantuan pernafasan anggota bomba tertanggal ketika operasi
BACA: Operasi menyelamat di Puchong ikut prosedur
BACA: KPKT arah benteng banjir ditutup kepada awam
#abang bomba #bomba meninggal #Bomba Sarawak #BombaHeroKami #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
;