Dia antara Melayu bijak, kata bekas pensyarah mangsa MH17
Astro Awani
Julai 20, 2014 12:28 MYT
Julai 20, 2014 12:28 MYT
Salah seorang mangsa nahas pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas dipercayai ditembak jatuh oleh pengganas berhampiran sempadan Ukraine-Rusia, Mohd Ali Mohd Salim disifatkan sebagai antara Melayu bijak yang dapat mengikuti pengajian dalam bidang yang sukar.
Bekas pensyarahnya yang juga Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Jafri Malin Abdullah memberitahu, Mohd Ali bakal menamatkan pengajian Ijazah Kedoktoran "Development Neuropsychopathology" di Erasmus University, Rotterdam, Belanda dan merupakan bakal pensyarah.
“Saya tak tahu apakah dosa dan kesalahan yang telah Allahyarham lakukan sehingga tergamak pihak tidak bertanggungjawab membunuh dan membedil pesawat yang dinaiki oleh seorang permata negara,” luahnya ketika ditemui Astro AWANI di USM Kubang Kerian.
“Ia adalah qada’ dan qadar yang kita harus terima. Manusia merancang, Allah menentukan segalanya,” tambah beliau.
Menurut Dr Jafri, bakal pensyarah ini merupakan pensyarah pelatih di USM dan merupakan pelatih yang amat beliau sayangi dan sanjungi sejak mengenalinya hampir lima tahun lalu.
Mohd Ali menjadi pilihan bakal pensyarah sejak dipilih pada 2009 setelah berjaya mendapat Ijazah Sarjana (Master) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kata Dr Jafri, kali terakhir beliau berbalas pesanan melalui email ialah dua hari sebelum hari kejadian dan Mohd Ali ada menyatakan hasrat untuk berhari raya di kampung setelah dua tahun tidak pulang.
Tambahnya, Mohd Ali seorang yang ringkas, berwawasan, rajin, berdedikasi dan bercita-cita tinggi untuk membantu anak muda dalam bidang yang dipelajarinya.
Bakal penyarah berusia 30 tahun itu juga disenangi oleh pensyarah di universiti di Rotterdam sejak dihantar ke sana oleh USM sejak 2011, dan amat rajin dalam bidang yang dipelajarinya.
Pada hari kejadian, Dr Jafri merasa tidak sedap hati sekitar pukul 9 malam dan pada pukul 11 malam apa yang beliau rasakan menjadi kenyataan apabila rakannya di Rotterdam memaklumkan Mohd Ali menaiki pesawat berkenaan.
Luluh hatinya apabila menerima berita berkenaan kerana Mohd Ali merupakan harapan keluarga dan juga harapan USM.
Mohd Ali Mohd Salim, berasal dari Kampung Jayor, Muar, Johor dan sepatutnya bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-30 pada 10 September ini.
Beliau adalah anak keempat dari lapan beradik sedang mengikuti pengajian di bawah skim latihan kakitangan akademik (RLKA) Kementerian Pendidikan di bawah USM.
Mohd Ali merupakan salah seorang penumpang pesawat Boeing 777 penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan terhempas ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur setelah hubungan pada 1415 (GMT) atau 10.15 malam waktu Malaysia.
Menurut kenyataan Twitter MAS, kedudukan terakhir pesawat Boeing 777 itu dikesan berada di ruang udara Ukraine berhampiran sempadan Rusia.
Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari Khamis dan sepatutnya tiba di KLIA pada 6.10 petang Jumaat, waktu Malaysia.
#Amsterdam
#KLIA
#Malaysia Airlines
#MH17
#Mohd Ali Mohd Salim
#penerbangan Malaysia
#Rusia
#Ukraine