'Dia ada lagi, mak cik tak percaya semua spekulasi', kata ibu Khairul Amri
Wan Syamsul Amly
Mac 7, 2015 07:40 MYT
Mac 7, 2015 07:40 MYT
"Katalah apa sahaja, bayarlah berapa juta ringgit pun pampasan, buatlah apa sahaja pengumuman atau ceritalah apa juga spekulasi, mak cik tahu Amri masih ada."
Serak bercampur sayu nada ibu Mohd Khairul Amri Selamat, Normah Jaafar ketika memberitahu keyakinannya tentang situasi anaknya yang hilang dalam tragedi penerbangan Malaysia Airlines MH370 Mac tahun lalu.
"Biarlah orang kata dia tidak ada, Amri ada, mak cik tahu dia ada, kenapa orang kata dia tidak ada?
"Macam-macam cerita mak cik dengar, ada orang cakap kapal terbang itu tidak hilang, ada orang kata kapal terbang itu kena sembunyi, tapi semuanya cakap kosong dan tidak ada bukti," jelasnya.
Sebelum ini banyak spekulasi tersebar mengenai pesawat malang berkenaan termasuk yang terbaharu tentang terdapat penglibatan Rusia di dalam konspirasi itu dan MH370 sudah dibawa ke Antartika.
Pada 24 Mac tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pesawat MH370 berakhir di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.
Pada 29 Januari tahun ini, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengumumkan kehilangan MH370 sebagai satu kemalangan dan kesemua penumpang dan anak kapal dianggap terkorban.
Beberapa hari menjelang setahun kehilangan MH370, MAS dilaporkan menaruh harapan bahawa misi pencarian dan penyiasatan dapat merungkai misteri kehilangannya dan mencari jawapan yang ditunggu-tunggu selama ini.
Kata Normah, kesihatannya mula terganggu selepas pengumuman DCA yang terakhir mengenai pesawat berkenaan.
"Mak cik demam dan belum sembuh-sembuh sejak hari itu. Tak sedap badan, terkejut dan terlalu rindukan Amri," katanya dalam nada teresak-esak.
Dalam pada itu, seorang waris penumpang MH370 yang enggan mendedahkan identitinya menyifatkan semua spekulasi yang tersebar sebagai mengarut.
"Tidak habis-habis dengan spekulasi, mengarut semuanya.
"Saya dah penat dan tidak mahu memberi sebarang komen lagi, jujurnya saya sudah penat dengan semua ini," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi waris penumpang MH370 yang juga enggan dikenali meminta rakyat negara ini terus mendoakan kesejahteraan semua yang ada di dalam pesawat berkenaan.
"Semoga pencarian bertemu kesudahannya. Saya harap pencarian ini ada pertemuannya kelak dan kebenaran akan diketahui, InsyaAllah," katanya.
Pesawat Boeing 777 MAS itu membawa 239 orang termasuk 12 orang anak kapal apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, tahun lalu.
#Australia
#aviation
#Beijing
#China
#conspiracy
#jacc
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Malaysia Airlines
#MAS
#MH370
#mystery
#SAR