'Dia ada kes bunuh, edar dadah dan samun bersenjata' - Polis tembak mati lelaki di Sungai Petani
Adie Sufian Zulkefli
Januari 14, 2019 12:49 MYT
Januari 14, 2019 12:49 MYT
Suspek lelaki yang mati ditembak polis di Kampung Jerung, Jalan Ketil, di sini, awal pagi tadi sememangnya amat dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam kes bunuh, pengedaran dadah serta samun bersenjata.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, SAC Mior Farid Alatrash Wahid, memaklumkan, suspek diburu polis selepas melepaskan tembakan di Flat Paya Nahu, Sungai Petani lewat malam tadi.
“Kita (polis) telah berbalas tembak dengan seorang lelaki berusia 28 tahun, dia ini memang seorang yang dikehendaki polis dan ada tiga rekod wanted (dikehendaki) dan dikehendaki polis lebih kurang sebelas rekod siasatan lampau,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya susulan insiden itu, polis telah memburu kereta Jenis Toyota Vios berwarna putih dengan nombor pendaftaran palsu yang dinaiki suspek selepas kejadian itu.
Bagaimanapun pada jam 5.20 pagi polis menemui kenderaan suspek di Jalan Lencong Timur dan mengejar lebih 15 kilometer sebelum berjaya menyekat kereta suspek di Jalan Kampung Jerung.
Polis kemudian mengarahkan suspek memberhentikan keretanya namun suspek terus memecut laju dan terbabas ke dalam longkang.
Suspek kemudian meluru keluar dari kereta dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis..
Polis membalas tembakan mengenai bahagian kepala dan dada sehingga mengabatkan suspek rebah.
Selepas kejadian itu polis menemui sepucuk pistol Semi Auto 9MM jenis Baretta di tepi suspek serta 74 paket plastik kecil yang mengandungi dadah jenis heroin.
Rekod kesalahan lampau suspek mendapati suspek terbabit dalam kes bunuh seorang wanita di Flat Paya Nah pada 2018 serta kes samun dan memiliki senjata bahaya.
Suspek juga merupakan ahli kongsi gelap ‘Geng 36’.
Dengan menembak mati suspek polis yakin berjaya menyelesaikan beberapa kes jenayah berat disekitar Sungai Petani..
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Mayat suspek di Hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat.