Di Sri Muda ada Abang Viva, di Dengkil pula ada Abang Rafi

Ridauddin Daud
Disember 26, 2021 10:00 MYT
Bertemankan pacuan empat rodanya, Abang Rafi (kanan) sibuk masuk dari rumah ke rumah di kampung tersebut bagi menyerahkan bantuan kepada penduduk. - Astro AWANI
DENGKIL: Dari kejauhan, kelihatan seorang lelaki, kecil saja badannya, sibuk mengangkut air mineral berkotak-kotak sampai tersenget-senget badan dibuatnya.
Kotak-kotak itu diserahkan kepada mangsa banjir sebelum dia kembali ke kereta, keluarkan barang lain pula untuk kegunaan mereka yang terjejas di sekitar Dengkil.
Sejak Selasa lepas, begitulah rutin harian Rafiee Osman, 50, yang sibuk membantu mangsa banjir di kawasannya, bermula dari selepas Subuh hinggalah kadangkala sampai ke 4.00 pagi.
"Apa lagi yang tak ada? Bantal, tuala, selimut ada?
"Ada bayi tak di sini? Kalau ada saya boleh berikan susu."
Itulah pertanyaan awal yang terpacul dari mulutnya setiap kali tiba di rumah mangsa.
Berbekalkan sebuah pacuan empat roda, boleh dikatakan semua kawasan sudah diredahnya, menghantar satu demi satu bantuan kepada penduduk.
Rafiee atau mesra disapa Abang Rafi bukanlah orang senang tapi hatinya rasa tak tenang sekiranya bersenang-senang di rumah sedangkan dia tahu, ramai di sekelilingnya terjejas.
Semuanya bermula pada pagi Selasa, apabila dia melihat ibu yang baru tiga hari melahirkan anak, sibuk mencari 'toto' tapi gagal kerana wang tak cukup.
Dia cuba membantu tapi mereka cepat berlalu pergi, tak sempat pun Abang Rafi bertanya di manakah mereka tinggal.
"Punca daripada situ, hati saya rasa tak senang. Tak senang dengan keadaan banjir, keadaan dia yang baru melahirkan anak.
“Sendiri berjuang untuk dapatkan keperluan anaknya. Saya teringat benda itu sampai di rumah, saya gelisah, macam mana ini.
“Saya pun bukannya ada duit untuk beli barang-barang keperluan macam itu,” katanya.
Dia kemudian mendapatkan barang keperluan dari rakannya namun dia terkilan kerana tidak dapat menjumpai wanita itu dan barang yang dia ada diberikan kepada mangsa lain pula.
Bukan hanya agihkan barang, pacuan empat rodanya juga digunakan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap, diredah sahaja dan ada kalanya, air sudah sampai paras pintu kereta.
"Saya tak fikir apa dah masa itu. Fikir nak selamatkan orang sahaja. Selesai satu 'trip', saya sambung lagi.
"Sampailah saya berhenti bila air dah terlalu tinggi. Risiko, bukan hanya kepada saya tapi kepada mangsa juga," ujarnya kepada Astro AWANI ketika sedang bersedia untuk memunggah barang bagi penyaluran bantuan untuk waktu malam pula.
Ditanya berapakah jumlah mangsa yang diselamatkan, ini jawapannya:
"Kalau kereta saya boleh bercakap, pasti dia akan beritahu tapi kalau tanya saya, biarlah orang yang dibantu dan Allah saja tahu."
Lima hari bencana di Dengkil, Abang Rafi masih sibuk ke sana, ke sini memberikan bantuan kepada penduduk.
Bantuan itu bukan darinya namun dari derma-derma individu, persatuan dan sebagainya dan tugas Abang Rafi, menyampaikan semuanya kepada mangsa, walau di ceruk mana sekalipun.
Tidur? Dua atau tiga jam saja sehari dan itu pun dia rasa rugi - kalau boleh mahu berjaga sentiasa, membantu setiap masa.
"Saya rasa kan dalam dua jam saya tidur pun terasa rugi sangat. Kalau boleh saya tak nak tidur, dua jam itu pun saya terasa rugi, memang terasa rugi dua jam itu.
“Rasa seronok membantu..tak tahulah nak kata. Kalau ada imbuhan, kalau ada gaji itu, mungkin rasa seronok itu lain tapi ini tuhan beri satu rasa…rasa untuk menolong padahal saya pun susah…saya pun susah, bukan saya senang.
Banjir | Apa keperluan mangsa ketika ini?
“Tapi ada perasaan itu, walaupun dua jam tidur tapi tak tahulah, kalau boleh memang tak nak tidur,” katanya.
Umurnya sudah setengah abad namun dengan kudrat berbaki, dia terus berbakti kepada masyarakat meskipun dia juga mangsa banjir, rumahnya juga dimasuki air.
Namun, dia ketepikan masalahnya kerana dia tahu, masih ramai yang terjejas teruk dan dia rasa terpanggil untuk membantu, kalau tidak banyak, sedikit pun memadai.
“Kalau ikutkan kenderaan memang boleh hancur kan, dengan selut, dengan apa tapi perasaan puas tolong tu..tak boleh nak ungkap…tak boleh nak jual beli benda itu, perasaan itu,” katanya.
#pasca banjir #Dengkil #lumpur #Abang Rafi
;