Di sebalik tirai besi, bekas ustazah rindu anak terkenang Syawal

Bernama
April 22, 2023 11:00 MYT
Mika sedang menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) tidak kurang dua tahun hingga tiga tahun di Puspen Bachok. - Foto BERNAMA
BACHOK: Tatkala mendengar takbir Hari Raya Aidilfitri, perasaan sayu mula menyelubungi jiwa Mika (bukan nama sebenar) apabila terkenangkan wajah keluarga dan anak-anak yang sedang gembira meraikan 1 Syawal.
Mika, 34, berkata walaupun sedang menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) dua tahun hingga tiga tahun di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok, pengalaman berjauhan dengan keluarga amat menyedihkan namun itulah pengorbanan yang perlu dilaluinya.
"Banyak kenangan... saya rindu ketika menyambut hari raya, saya dapat bayangkan bagaimana saya uruskan empat anak saya berusia 2 hingga 12 tahun buat persiapan raya.
"Teringat abah dan emak yang sentiasa sibuk di dapur sediakan juadah hari raya bersama 11 lagi adik beradik yang lain, selain dapat kumpul beramai-ramai dengan sanak saudara, itulah suasana hari raya yang masih segar dalam ingatan saya," katanya ketika ditemui Bernama di Puspen Bachok, di sini hari ini.
Bercerita lanjut, ibu tunggal yang juga merupakan bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) tidak menyangka kehidupannya berubah sekelip mata apabila mula terjebak dengan najis dadah (syabu) ketika berusia 22 tahun angkara pengaruh sahabatnya.
"Saya memang tidak pernah kenal bagaimana rupa dan bentuk dadah jenis syabu sehinggakan pada suatu hari semasa badan saya berasa lenguh, saya telah meminta bantuan daripada kawan saya untuk mencari ubat tahan sakit, dia bagi syabu untuk cuba dan badan saya tiba-tiba berasa lega.
"Rentetan daripada kejadian itu kehidupan saya terus bergelumang dengan dadah dan lama-kelamaan segala kesenangan yang dimiliki seperti kerjaya, kereta, barang kemas dan sebagainya dijual serta digadai begitu sahaja," katanya yang tidak dapat mengawal emosi serta tingkah laku ketika mengambil dadah itu.
Menyedari bahawa dia perlu berubah, Mika akur dengan keputusan keluarga yang menghantarnya ke Puspen Bachok untuk menerima rawatan dan pemulihan supaya menjadi insan yang lebih baik.
"Alhamdulillah, sejak saya berada di Puspen Bachok banyak perkara serta ilmu yang saya pelajari, malah rakan-rakan yang senasib dengan saya terus berusaha untuk berubah ke arah kebaikan.
"Saya tidak akan ingat lagi titik hitam yang pernah hancurkan kehidupan saya kerana segala ujian yang dilalui sebelum ini adalah sejarah bagi saya. Kepada penagih-penagih yang masih bebas, ayuhlah kembali ke pangkal jalan, masih belum terlambat lagi untuk berubah," katanya.
-- BERNAMA
#penjara #Aidilfitri #Mika #rindu anak
;