Di sebalik spekulasi, menteri masih bertugas seperti biasa
Isabelle Leong
Februari 24, 2020 11:47 MYT
Februari 24, 2020 11:47 MYT
PASTINYA rakyat Malaysia masih terkejut dan tertanya-tanya susulan berlangsungnya lima mesyuarat parti politik yang diadakan serentak pada Ahad.
Apakah maksudnya mesyuarat tersebut dan mengapa lima mesyuarat politik diadakan ketika pelan peralihan kuasa sudah dimuktamadkan?
Persoalan demi persoalan timbul tetapi jawapannya masih tidak diketahui memandangkan pemimpin dan Ahli Parliamen dari pihak kerajaan dan pembangkang yang menghadiri perjumpaan ‘tergempar’ di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, memilih untuk ‘kunci mulut’.
Namun, di sebalik spekulasi pertukaran pakatan dan kekecohan yang berlaku, suasana di Putrajaya tetap tenang pagi ini.
Di sebalik kemungkinan wujud ketegangan sesama parti komponen Pakatan Harapan (PH), menteri kabinetnya dilihat masih menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
Setiausaha Akhbar kepada Lim Guan Eng, Lutfi Hakim, ketika dihubungi berkata beliau masih menjalankan tugasnya sebagai Menteri Kewangan.
Apabila ditanya sama ada terdapat sebarang program kementerian yang akan dihadiri Guan Eng, jawab Lutfi: “Tiada, buat kerja saja.”
Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook
Walaupun tiada di dalam negara ketika ini, Setiausaha Akhbar kepada Anthony Loke, Lim Swee Kuan memaklumkan bahawa Menteri Pengangkutan tersebut menjalankan tugas seperti biasa.
“Loke hanya akan kembali ke Malaysia pada malam ini. Beliau kini di Sweden bagi menghadiri persidangan jalan raya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Menteri Sumber Manusia merangkap Naib Presiden DAP, M Kulasegaran
Sementara itu, M Kulasegaran pula ketika ini berada di Bangladesh bagi menyertai perbincangan mengenai tenaga buruh asing.
“Kulasegaran bertugas seperti biasa. Beliau telah ke Bangladesh sejak 20 Feb, tetapi bila beliau akan kembali, saya tidak pasti,” kata Pengawai Perhubungan Awam Kementerian Sumber Manusia, Salehuddin Klewan.
Menteri Kesihatan merangkap Pengarah Strategi Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly menghadiri majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pengurusan Kelesuan Bagi Kesihatan Peringkat Kebangsaan di Hotel Marriot, Kuala Lumpur pada pagi tadi.
Bagaimanapun, Setiausaha Akhbarnya Ismail Amsyar Mohd Said berkata, sidang media harian mengenai wabak koronavirus (COVID-19) tidak akan berlangsung.
#Amanah
#Anthony Loke Siew Fook
#bertugas
#DAP
#Dr Dzulkefly Ahmad
#Lim Guan Eng
#M Kulasegaran
#Malaysia2020
#menteri
#Mohamad Sabu
#Spekulasi pertukaran pakatan