Di sebalik lirik 'Kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu'
Sinar Harian
Mei 8, 2024 11:10 MYT
Mei 8, 2024 11:10 MYT
HULU SELANGOR: Sebaris lirik 'Kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu' dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dalam lagu Joget Kenangan Manis diterjemah menerusi penghasilan batu buatan yang menjadi mercu tanda di Kuala Kubu Baharu.
Batu berkenaan yang terletak di Galeri Seni dan Sastera Hulu Selangor telah dihasilkan oleh pengasas galeri berkenaan yang juga merupakan bekas arkitek Majlis Daerah Hulu Selangor (kini Majlis Perbandaran Hulu Selangor), Allahyarham Abdul Wahab Abdul Hamid.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Kuala Kubu, Muhammad Hairiy Marazat berkata, batu buatan itu sebagai simbolik Kuala Kubu Baharu sebagai lokasi tumpuan perkelahan dan mandi-manda susulan terdapat banyak sungai di daerah berkenaan.
Menurutnya, tidak banyak lagu yang menceritakan mengenai Kuala Kubu Baharu melainkan Joget Kenangan Manis selain lagu Keroncong Ampang Pecah.
"Tulis nama atas batu simbolik orang yang datang berkelah akan menconteng atau menulis nama mereka di atas batu sebagai kenangan.
"Dahulunya Sungai Pertak menjadi lokasi popular mandi-manda dan kalau tengok sekarang pun Kuala Kubu Baharu terdapat banyak tempat perkelahan," katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, mercu tanda itu menjadi antara destinasi persinggahan pelancong setiap kali ke Kuala Kubu Baharu.
Katanya, sehingga kini ribuan tandatangan pengunjung terkumpul di atas batu berkenaan.
"Banyak tulisan terdapat di batu ini dan kita telah padamkan banyak kali dengan mengecat semula batu berkenaan.
"Secara tidak langsung, batu diperbuat daripada simen ini menjadi identiti persatuan kita disebabkan lagu itu sendiri mempunyai unsur seni dan sastera," katanya. - Sinar Harian