Di manakah jawatankuasa lindung jamin SOSMA? - Gani Patail

Sathesh Raj
November 3, 2015 07:31 MYT
Gani mencadangkan Presiden Majlis Peguam Negara Steven Thiru untuk membawa perkara ini kepada pihak berwajib bagi memastikan 'check and balance'. - Foto
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mempersoalkan di manakah jawatankuasa lindung jamin atau 'check and balance' susulan pelaksanaan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 SOSMA yang seharusnya di wujudkan.
Beliau merujuk kepada pembentukan jawatankuasa kajian khas, yang dijanjikan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan rang undang-undang SOSMA pada 2012.
"Di manakah jawatankuasa lindung jamin atau 'check and balance' pelaksanaan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 SOSMA?" tanya beliau.
Tegas Abdul Gani, persoalan berhubung kewujudan jawatankuasa yang sepatutnya melibatkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam itu perlu dibawa ke perhatian kerajaan bagi memastikan undang-undang terpelihara.
Justeru beliau mencadangkan agar Presiden Majlis Peguam, Steven Thiru untuk membawa perkara ini kepada pihak berwajib bagi memastikan 'check and balance' dan tiada penyalahgunaan undang-undang.
"Lindung jamin ke- 6 ialah apabila akta itu berkuat kuasa kerajaan juga akan menubuhkan satu jawatankuasa secara pentadbiran untuk menyemak keseluruhan akta ini dari semasa ke semasa dan jawatankuasa ini akan juga bertanggungjawab untuk meneliti pelaksanaan akta tersebut dan mengemukakan syor untuk penambahbaikan.
"Jadi sepatutnya ada satu jawatankuasa yang ditubuhkan secara pentadbiran," ketika berucap di dalam forum "SOSMA - Wolf in Sheep's Clothing" di sini malam tadi.
Dalam masa sama beliau berkata wujud interpretasi dan pelaksanaan sesuatu undang-undang yang sering kali menjadi masalah walaupun sesuatu undang-undang itu sendiri adalah bagus.
Beliau mengambil contoh SOSMA yang dibuktikan sangat berguna ketika insiden Lahad Datu.
Apabila ditanya tentang kegunaan SOSMA dalam kes penangkapan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang, beliau berkata, isu itu telah dibawa ke mahkamah dan perkara itu sewajar dikendalikan oleh pakar mengenainya.
Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, "Saya tidak boleh komen. Saya tidak mempunyai fakta kes. Saya tidak tahu apa yang pihak pendakwaraya ada."
Penampilan Abdul Gani dalam forum ini adalah yang pertama sejak perkhidmatannya sebagai Peguam Negara ditamatkan Julai lalu.
#Abdul Gani Patail #Khairuddin Abu Hassan #Matthias Chang #Peguam Negara #SOSMA
;