Di mana Wan Saiful ketika wartawan Al-Jazeera dihalau dari Malaysia? - Fahmi
Hasimi Muhamad
Mac 8, 2024 18:57 MYT
Mac 8, 2024 18:57 MYT
PUTRAJAYA: Fahmi Fadzil menyindir Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa kebebasan media di Malaysia 'semakin mati' di bawah pimpinannya sebagai Menteri Komunikasi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu berdiam diri ketika wartawan Al-Jazeera diarah keluar dari Malaysia pada 2020.
"Saya masih ingat pada 2020, ketika wartawan Al-Jazeera diarah keluar dari Malaysia dan saya tidak mendengar suara dari Wan Saiful.
"Di mana dia ketika wartawan terbabit ditahan, disiasat, permit mereka ditarik balik dan dihalau?
"Di mana Wan Saiful ketika saya diserang di Parlimen kerana mempertahan wartawan Al-Jazeera pada 2021? Dia tiada di mana-mana," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Semalam, Wan Saiful dalam kenyataan berkata Fahmi tidak perlu menjadi 'terpaling wartawan' dengan cuba mengajar pengamal media mengenai peranan mereka.
Ia susulan dakwaan Fahmi bahawa kad akreditasi media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan bukan lesen untuk mengamalkan kewartawanan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, Malaysia sedang menyaksikan “pembunuhan perlahan-lahan" terhadap reformasi berkaitan kebebasan media di bawah kepimpinan Fahmi.
Sementara itu dalam sidang media sama, Fahmi turut memaklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua Jemaah Menteri agar mengambil tindakan susulan dan menyegerakan beberapa perkara berkaitan memorandum persefahaman (MoU) dan niat pelaburan susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Australia, baru-baru ini.
Jelas beliau, lawatan Anwar ke Australia disifatkan sebagai berjaya kerana telah menarik minat pelaburan sebanyak RM24.5 bilion.
"Pada masa sama Perdana Menteri menyampaikan kepada ahli jemaah tentang siri pebincangan yang telah diadakan bersama-sama negara ASEAN lain secara bilateral.
"Ia antara lain mengenai para pelancong yang diharap dapat ditarik dan fokus kita antaranya di Langkawi. Ini telah dimaklumkan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing termasuk isu harga makanan di Langkawi," ujarnya.
Pada masa sama, Fahmi memaklumkan Kabinet belum lagi membincangkan cadangan untuk menandatangani kontrak baharu dengan syarikat Ocean Infinity bagi menyambung pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370, yang hilang sejak 10 tahun lalu.
#Kebebasan Media
#Fahmi Fadzil
#Wan Saiful Wan Jan
#lawatan rasmi
#Anwar Ibrahim
#wartawan Al-Jazeera
#MH370
#MOTAC
#Langkawi