Di mana tapak ganti bazar Ramadan Jalan Masjid India? Ini reaksi menteri
Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 9, 2019 08:45 MYT
Februari 9, 2019 08:45 MYT
Tapak baharu bagi menggantikan bazar Ramadan di Masjid India akan ditentukan dalam masa terdekat.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad berkata ada beberapa tempat yang difikirkan sesuai untuk menggantikan tapak bazar Ramadan tersebut.
Perkara itu, jelasnya, akan diumumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedikit masa lagi memandangkan umat Islam akan menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.
“Mungkin dalam tempoh seminggu dua ini pihak DBKL akan umumkannya. Tetapi yang lebih penting, tapak baharu yang akan diganti nanti lebih selesa dan lebih baik berbanding Jalan Masjid India.
"Dan tentunya, ia lebih mudah untuk didatangi semua pihak,” jelasnya ketika ditemui oleh Astro AWANI pada Jumaat.
Jelasnya, bazar Ramadan mempunyai kelainannya tersendiri kerana kebanyakan pengunjungnya terdiri daripada mereka yang baru habis bekerja dan terus singgah di kawasan itu.
“Ada cadangan untuk melaksanakannya di Perkarangan Stadium Bukit Jalil seperti yang dilakukan pada perayaan Tahun Baharu Cina, namun walau bagaimanapun, saya merasakan kawasan itu tidak begitu sesuai.
"Kerana, bazar Ramadan kita tak boleh samakan dengan raya Cina. Agak tidak munasabah untuk diadakan di sana. Ia mestilah berhampiran dengan kawasan bandar dan dekat dengan kawasan pejabat,” tambahnya.
Khalid berkata, pihak DBKL perlu menentukan dan membuat keputusan yang tepat mengenai perkara ini bagi memastikan ia mudah untuk dikunjungi oleh orang ramai.
Sebelum ini, DBKL memutuskan untuk tidak lagi membenarkan perniagaan bazar Ramadan terus beroperasi di Jalan Masjid India atas beberapa sebab.
Antaranya termasuk aduan peniaga di bangunan sekitar kawasan berkenaan, selain kesukaran menguruskan peniaga bazar berkenaan.
Bagaimanapun, DBKL mengekalkan keputusan untuk membenarkan pasar malam pada setiap Sabtu di Lorong Tuanku Abdul Rahman iaitu kawasan berhampiran dengan Jalan Masjid India.
#Astro
#Astro Awani
#bazar
#Bukit Jalil
#Cina
#DBKL
#Deepavali
#India
#Islam
#Kuala Lumpur
#Masjid India
#menteri
#operasi
#peniaga
#Ramadan