Di mana sahaja, Cozy Corner tetap seperti dahulu - Joo Tan
Wan Syamsul Amly
Disember 21, 2017 10:58 MYT
Disember 21, 2017 10:58 MYT
Selepas 39 tahun beroperasi, kedai makan, Cozy Corner yang menjadi antara mercu tanda terkenal di Ampang Park mengumumkan perpindahan mereka ke Ampang Point.
Walaupun jarak di antara Ampang Park dan Ampang Point hanya 3.8 kilometer, ia bakal tersimpan di lipatan sejarah antara lokasi menjamu selera keluarga yang terkenal di negara ini.
Isu pengambilan tanah pusat beli-belah Ampang Park bagi tujuan pembinaan terowong MRT dan laluan pejalan kaki bawah tanah itu menjadi sebab Cozy Corner mengambil keputusan untuk berpindah dan itu mungkin yang terbaik bagi mereka pada waktu ini.
Pemilik kedai makan Cozy Corner, Lim Joo Tan berkata, tapak yang sudah diduduki lebih 39 tahun itu merupakan peninggalan serta warisan kepada generasi baharu keluarganya.
Mengakui sedih, Joo Tan menyifatkan 'hijrah' mereka adalah demi kelangsungan perniagaan dan berjanji memberi kepuasan hidangan sama untuk pelanggan walaupun di lokasi baharu kelak.
"Sedih, tetapi kita seperti 'bawa' Cozy Corner di Ampang Park di Ampang Point. Semuanya sama sahaja, hanya lokasi berbeza," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Restoran Cozy Corner di Ampang Park mengumumkan lokasi baru mereka di Ampang Point yang akan mula beroperasi pada Mac 2018 - Sumber gambar Facebook Cozy Corner Ampang Park
Restoran Cozy Corner merupakan antara tarikan utama orang ramai ke Ampang Park selain menjadi salah satu simbol kompleks itu.
Joo Tan yang sudah berusia 41 tahun sebelum ini menegaskan tidak akan berpindah ke lokasi lain yang pasti menghilangkan identiti premisnya selama ini.
"Saya mahu kekal di sini. Saya pasti pelanggan setia di sini juga berpendapat yang sama," ujarnya sebelum ini.
Bagaimanapun, kata Joo Tan, pelanggan tetap Cozy Corner harus sabar menanti dua bulan sebelum premis baru mereka siap diubah suai.
"Bila sudah siap nanti, kita mahu peminat hidangan ke lokasi baru, jangan risau, di mana sahaja, Cozy Corner tetap seperti dahulu, rasanya tetap sama," jelasnya.
Kesedihan pemilik premis di Ampang Park sebelum ini disifatkan di tahap 'parah; apabila dilaporkan ada peniaga yang mengalami tekanan emosi selepas mengetahui kompleks itu akan diruntuhkan dan dijadikan tapak pembangunan stesen serta laluan MRT.
Timbalan Presiden Persatuan Peniaga Satu Malaysia Ampang Park, Wan Kamal Izzuddin Wan Kassim sebelum ini berkata, mereka kini buntu apabila kehilangan pelanggan selain memikirkan kerugian yang akan ditanggung kelak.
Sementara itu, beberapa penguna Instagram turut meluahkan rasa masing-masing terhadap pengumuman perpindahan Cozy Corner itu.
Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang ramai pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli belah pertama di Malaysia dengan keseluruhan 250 lot premis yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan dan kehendak selain perkhidmatan untuk warga kota.
Ia dibangunkan oleh syarikat Low Keng Huat Brothers Realty Sdn Bhd berikutan kejayaan projek pertamanya di Singapura, People's Park yang dibuka pada 1968.
Antara rekod yang pernah dicatat oleh Ampang Park ialah pusat membeli belah pertama di negara ini selain membuat dodol terbesar pada tahun 2000.
Menggunakan slogan 'Di mana semua orang mengenali anda', Ampang Park disifatkan sebuah pasar raya berkonsep sebuah keluarga besar yang sangat rapat.