Di mana mayat Eric? Operasi mencari disambung jika ada petunjuk baharu - Polis

Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 25, 2022 14:30 MYT
Operasi pencarian mayat Eric yang ditamatkan 19 Mac lepas akan disambung jika ada petunjuk baharu ditemui. - Gambar fail
KUCHING: Polis Kuching tidak menolak kemungkinan untuk menggerakkan semula operasi pencarian mayat Eric Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu.
Kanak-kanak berusia empat tahun itu dipercayai dibunuh dan dibuang di muara sungai Kampung Muara Tebas.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata usaha itu tidak berhenti begitu sahaja, namun sekiranya ada petunjuk baharu, operasi mencari akan dihidupkan.
“Operasi mencari kita akan hidupkan bila-bila masa dan kita masih mempunyai pasukan Polis kita yang juga bekerjasama dengan agensi terlibat bersama masyarakat untuk kita menerima maklumat yang baharu, ini adalah sebahagian daripada siasatan kita yang masih diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Padang Kawad IPD Kuching pada Jumaat.
Sebelum ini operasi mencari mayat kanak-kanak berusia 4 tahun itu dilaksanakan selama tujuh hari sebelum ditamatkan pada 19 Mac lalu tanpa menemui petunjuk baharu dan meneruskan tumpuan siasatan kepada bukti saintifik.
BACA: Operasi pencarian Eric dihentikan, tumpu kepada bukti saintifik - Polis
Bagaimanapun pihak polis telah menyambung tempoh tahanan reman pasangan penjaga sehingga 31 Mac 2022 untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Untuk perkembangan terkini, tempoh reman dua pasangan penjaga tersebut telah disambung semula sehingga 31 Mac depan, maka siasatan kita masih diteruskan.
"Sekarang kita menumpukan untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum ianya dihantar kepada pejabat peguam negara untuk cadangan-cadangan yang berkaitan,” katanya.
Tambah Ahsmon lagi, kes jenayah melibatkan kanak-kanak ini adalah kes terpencil dan tidak melibatkan mana-mana pusat asuhan di Kuching.
“Ini adalah kes yang terpencil tidak ada kaitan dengan mana-mana pusat asuhan, walaupuan ada yang cuba mengaitkannya, namun pihak Polis telah menganbil tindakan yang sangat pantas, dan berjalan dengan baik untuk kita meneruskan siasatan lanjut,” katanya.
Pada 7 Mac lalu, ibu kandung Eric, Dynasty Chang Ka Hui, 25 melaporkan kehilangan anak sulungnya itu kepada pihak Polis di Jalan Daya Bintawa di sini.
Susulan daripada itu pihak polis telah mendapatkan kenyataan ibu bapa Eric dan meneruskan perintah tahanan reman dua pasangan yang sebelum ini menjaga kanak-kanak berkenaan untuk siasatan lanjut.
Polis Kuching difahamkan akan melakukan sidang media berhubung kes ini selepas laporan kertas siasatan diserahkan kepada pejabat peguam negara dalam masa terdekat.
#Eric Chang Wei Jie #Kampung Muara Tebas #bunuh dan buang #Asisten Komisioner Ahsmon Bajah
;