Di mana kedudukan Malaysia dalam dunia Web3?
Hilal Azmi
September 18, 2022 11:30 MYT
September 18, 2022 11:30 MYT
KONGRES Teknologi & Inovasi Dunia (WCIT 2022) yang berlangsung di Pulau Pinang banyak membincangkan hal berkaitan perkembangan teknologi Web3 serta teknologi berkaitannya termasuklah teknologi token tidak sepiawai atau Non-Fungible Token (NFT), teknologi rantaian blok (blockchain) dan juga teknologi wang kripto.
Memandangkan kesemua teknologi ini masih ‘muda’ dan ‘kelabu’ dari pelbagai segi, potensi yang ada pada Malaysia cukup besar untuk menjadi kuasa besar teknologi di rantau ini.
Terdapat banyak cabaran serta peluang untuk Malaysia bersinar di pentas dunia menerusi teknologi baharu ini.
Sifatnya yang terpencar atau tidak berpusat menjadikan peluang untuk negara dengan kadar penembusan internet yang tinggi seperti Malaysia amatlah tinggi.
Peluang terbaik tingkatkan sumbangan ekonomi digital kepada negara
Bagi Datuk Yasmin Mahmood, teknologi Web3 merupakan sempadan baharu yang penting dalam merancakkan penciptaan nilai ekonomi daripada inovasi digital.
Katanya, ia bukan sekadar ‘hype’ semata-mata kerana keupayaan sebenar teknologi ini belum terserlah.
“Situasinya sama seperti zaman ketika internet baru bermula, sesiapa sahaja yang ada laman web dot com, maka ia akan terus dapat perhatian dan ini menjadi sumber keterujaan saya kepada teknologi ini.
Jenis-jenis bakat yang ada di Malaysia
Persoalan besar mengenai perkembangan teknologi ini semestinya berkisar mengenai bakat yang ada di Malaysia.
"Kita ada dua jenis bakat yang banyak menyumbang kepada ekonomi digital di Malaysia, pertamanya pengguna, keduanya penggiat atau pencipta," kata Yasmin yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Tambah beliau, cabaran terkini yang perlu dibuat adalah untuk menambahkan mereka yang mencipta sesuatu dalam teknologi Web 3.0.
Peluang hasilkan Mark Zuckerberg versi Malaysia
Pengerusi Eksekutif Netccentric Ltd, Ganesh Kumar Bangah pula berpendapat, dengan keadaan dunia yang terpencar (decentralized world), Malaysia berpotensi mewujudkan pencipta teknologinya yang tersendiri setaraf Mark Zuckerberg.
"20 tahun lalu, platform media sosial dimulakan di Amerika Syarikat menerusi Mark Zuckerberg (pengasas Facebook, kini dikenali sebagai Meta) dan Jonathan Abrams (pengasas Friendster).
"Menerusi Web 3.0, saya tidak menolak kemungkinan Malaysia juga akan menghasilkan pengasas platform besar seperti Facebook dan Friendster," tambahnya.
Masa untuk ‘influencer’ berubah
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Pemasaran dan Produk Cenderamata Kumpulan AEON, Low Ngai Yuen berpandangan tiba masanya untuk pempengaruh media sosial (social media influencer) untuk turut berkembang dan mengubah cara mereka berfikir.
“Kita sekarang dalam dunia yang saling mempengaruhi.
“Bakat yang kita ada tidak akan bermakna selagi ia tidak diasah menjadi sesuatu yang produktif.
“Keupayaan seseorang pempengaruh untuk memudahkan pengikutnya faham tentang sesuatu produk atau perkhidmatan dengan lebih mudah dalam masa yang singkat pastinya akan memberi kesan besar kepada karier mereka.
Tambah Yuen, pempengaruh media sosial juga digesa untuk terus berfikir seperti seorang usahawan ketika mereka bertindak secara dalam talian (online) mahupun di luar talian (offline).
Malaysia sebagai hab bakat kreatif dunia
Maka, untuk memastikan Malaysia tidak kering dengan bakat pempengaruh dan pencipta di dunia digital, proses pembangunan bakat perlu bermula sekarang!
Itu pandangan Natalie Sit, Ketua Pegawai Eksekutif Acestar Sdn Bhd, yang merupakan individu penting dalam membangunkan bakat baharu pencipta kandungan menerusi teknologi Web3.
“Saya percaya bahawa Malaysia mempunyai aset bakat yang cukup ramai.
“Tiba masanya kita jadikan Malaysia sebagai hab bakat kreatif dunia seperti mana dunia mengenali India sebagai hab bakat kejuruteraan.
Tambah Natalie, kepelbagaian budaya Malaysia merupakan kekuatan kita untuk menghasilkan bakat-bakat baru bertaraf dunia.
Natalie merupakan pengasas kepada Creative Cloud Community yang mengumpulkan lebih 5,000 anak muda dari pelbagai institusi yang bermula di Malaysia.