Di Kelantan, 'barang dalam kain' sangat laku di musim tengkujuh

Muhafandi Muhamad
Disember 3, 2019 17:13 MYT
Inilah rupa 'barang dalam kain' atau putu halba yang sangat popular di Kelantan setiap kali tibanya musim tengkujuh. - Gambar Astro AWANI
Setiap kali tibanya musim tengkujuh masyarakat di negeri Kelantan tidak akan terlepas untuk mendapatkan 'barang dalam kain' yang menjadi fenomena tahunan.
'Barang dalam kain' lazimnya muncul semasa musim tengkujuh kerana ia merupakan benda yang sangat lazat untuk dinikmati.
Jangan sesekali ada yang salah faham dengan 'barang dalam kain' ini.
Yang dimaksudkan dengan terma berkenaan adalah merujuk pada juadah tempatan yang sangat enak untuk dinikmati ketika musim hujan.
'Benda dalam kain' atau putu halba merupakan kuih tradisi yang dijual di pinggir-pinggir jalan.
Putu halba kuih yang sangat istimewa sering mendapat permintaan rakyat Kelantan kerana keenakan rasanya yang diperbuat daripada ubi kayu.
Keenakan putu halba dirasai daripada manisan di tengahnya dan dibalut dengan ubi kayu parut serta dimasak menggunakan wap panas menjadikan 'barang dalam kain' ini mendapat tempat di hati masyarakat tempatan.
Bagi peniaga Faziman Hasan, 30, yang mengusahakan perniaagaan putu halba bersama isterinya, Syafika Raja Ab Razak, 28, berkata, putu halba menjadi pilihan pelanggan kerana rasanya yang sedap dimakan ketika masih panas selain mengenyangkan.
"Putu halba jadi pilihan di musim hujan, kalau musim kemarau kurang laku. (Musim) hujan dengan ubi kayu sangat sinonim dengan orang Melayu sejak dulu lagi.
"Putu halba ini menggunakan campuran ubi, jadi memang sesuai dengan selera di musim hujan tambahan pula ubi kurang elok kalau musim kemarau," kata Faziman.
Seorang lagi peniaga, Siti Fadlina Ahmad pula berkata, putu halba juga popular kerana mengingatkan sebilangan generasi warga emas dengan makanan tradisi ketika Jepun menjajah tanah air berdekad lalu.
Ubi kayu adalah antara bahan asas masakan yang sangat dekat dengan generasi terdahulu yang pernah membesar di zaman penjajah kerana itulah satu-satunya sumber yang mudah untuk diperoleh dan tidak perlu dibeli.
Populariti putu halba atau 'barang dalam kain' menyebabkan jualan Siti Fadlina mendapat smabutan luar biasa lebih-lebih lagi di musim tengkujuh.
"Sehari saya jual dalam 10 kilogram dan semalam sudah jual 20 kilogram tapi lambat sikit habis.. Alhhamdulillah rezeki Allah beri dalam RM200 (hasil) jual putu saja," kata Siti Fadlina Ahmad lagi.
Dia yang baru membuka gerainya dua minggu lalu mengakui, tidak menang tangan kerana permintaan yang diterima daripada pelanggan kali ini sangat tinggi.
Kata Siti Fadlina, ramuan putu habla disediakan sendiri sementara ubi kayu pula ditanam sendiri oleh keluarganya.
Secara purata, seorang peniaga putu halba mampu menjual kira-kira 30 hingga 60 kilogram dengan pendapatan yang boleh diperoleh mencecah sehingga RM600 sehari.
Sementara itu, bagi peminat putu halba pula, mereka tidak melepaskan peluang untuk mencari putu halba di musim tengkujuh.
"Kalau balik jarang-jarang (sesekali) terasa nak bawa (putu halba) bagi pada kawan-kawan sebab (putu halba) sangat terkenal terutama semasa musim hujan
"Benda ini memang orang cari sebab di Raub tak ada (dijual) dan balik ke sini (Kelantan) semata-mata nak makan (putu halba) ini," kata Rozaini Fauzi.
Kepada masyarakat Kelantan, apabila disebut sahaja 'barang dalam kain' atau putu halba, mereka tentu lebih arif mengenai nikmat dan keenakannya.
#barang dalam kain #Kelantan #musim tengkujuh #putu halba
;