Dewan Undangan Negeri Sarawak akan bersidang sehari, esok
Bernama
Mei 10, 2020 18:14 MYT
Mei 10, 2020 18:14 MYT
Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) yang dijadual bersidang sehari esok akan berlangsung tanpa upacara pembukaan oleh Tuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.
Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, dua Rang Undang-undang akan dibentangkan pada sidang kali ini iaitu Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2019 dan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2020.
"Memandangkan sidang kali ini hanyalah sehari, jadi sesi soalan dan jawapan tidak akan diadakan dalam dewan. Saya ingin menegaskan dan menyatakan secara kategorik bahawa tidak seperti Rang Undang-undang Perbekalan, tidak akan ada perbahasan pada bacaan kali kedua dan peringkat jawatankuasa bagi Rang Undang-undang Tambahan," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Dalam situasi sekiranya ada perkara yang belum selesai, DUN boleh bersidang lagi pada bila-bila masa kemudian tanpa perlu menunggu enam bulan lagi.
Bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Asfia berkata, Dewan akan mengamalkan jarak sosial dalam kalangan anggota kehormatnya.
-- BERNAMA
#Amar Mohd Asfia Awang Nassar
#Dewan Undangan Negeri Sarawak
#DUN
#Sarawak
#Taib Mahmud
#undang-undang