Dewan Ulama PAS sokong Garis Panduan Hiburan Dalam Islam

Astro Awani
April 21, 2015 14:56 MYT
KHAIRUDDIN: Dewan Ulama PAS sokong Garis Panduan Hiburan Dalam Islam
Penggiat seni dan penganjur program hiburan perlu meneliti secara holistik Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang diwartakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Dr Khairuddin berkata, penggiat seni dan penganjur program hiburan juga perlu mengakui kewajaran penguatkuasaan garis panduan itu dan memikul tanggungjawab bersama dengan pihak berkuasa untuk membendung masalah sosial yang kian semakin meruncing.
"Amat tidak tepat dan tidak wajar sekali apabila ada penggiat seni dan penganjur program hiburan membantah dan mengkritik keras garis panduan yang disediakan ini semata-mata kerana tidak bersetuju dengan larangan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan semasa mengadakan latihan atau raptai; dan larangan percampuran antara lelaki dan perempuan di kalangan penonton," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, garis panduan itu amat penting untuk membendung gejala sosial di peringkat awal memandangkan anak muda sekarang mudah tertarik dan terpengaruh dengan lima aspek utama yang digariskan dalam garis panduan ini iaitu artis, persembahan, lagu, penganjuran program hiburan dan klip video.
BACA: Jakim sedia beri penjelasan tentang garis panduan hiburan
BACA: Apa kata media sosial tentang garis panduan hiburan terbaru Jakim?
Jelas anggota parlimen Kuala Nerus itu, budaya hiburan dapat didisiplinkan sekaligus mengelakkan daripada berlakunya masalah sosial dalam masyarakat jika kelima-lima aspek ini diatur dengan suatu garis panduan yang tepat dengan ajaran agama dan adat tempatan.
Dr Khairuddin berkata, hiburan yang dihayati di konsert, jika tidak dipandu dengan suatu garis panduan yang tepat, sangat berupaya memesongkan nilai baik yang wujud dalam diri terutamanya terhadap generasi muda.
"Apa yang dibimbangkan ialah mutakhir ini banyak sangat penganjuran berbentuk hiburan. Konsert mega 'Life in Color' yang dijadualkan pada 19 April 2014 nasib baik dibatalkan berikutan tragedi MH370 dan begitu juga dengan 'Topless Friday Beach Party' yang dibatalkan setelah mendapat bantahan orang ramai.
"Malangnya tetap ada lagi konsert lain seperti konsert 'Future Music Festival Asia' yang telah meragut beberapa nyawa anak muda Islam akibat pengambilan dadah. Selepas itu ada lagi program hiburan yang sangat memalukan maruah umat Islam setelah terdapat insiden gadis Melayu-Islam dipeluk dan memeluk; dicium dan mencium artis dari Korea," katanya.
Katanya, Islam tidak melarang budaya berhibur, cuma perlu dibuat secara terkawal dan terarah, dan bukan hanya untuk mencari keseronokan semata-mata dengan cara amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas perundangan dan nilai keagamaan.
Jakim mewartakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) selepas mendapat kelulusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-107 pada Februari lalu.
Antaranya, artis perlu mempunyai peribadi mulia dan tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah sama ada di bawah undang-undang syariah atau sivil, penampilan yang sopan dan beradab, serta melarang lelaki dan perempuan bercampur dalam satu persembahan yang boleh menimbulkan fitnah.
#Dewan Ulama PAS #Garis Panduan Hiburan Dalam Islam #JAKIM
;