Dewan Tertinggi BN hormat keputusan Lembaga Pengampunan

Sinar Harian
Februari 5, 2024 00:16 MYT
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu pada 5 Februari membincangkan dan bersetuju beberapa perkara penting berkait rapat perkembangan semasa negara. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu pada 5 Februari membincangkan dan bersetuju beberapa perkara penting berkait rapat perkembangan semasa negara.
“Dewan Tertinggi BN mendukung segala langkah yang bakal diambil selaras dengan lunas undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).
Dalam pada itu, Zambry berkata, BN berharap agar pemerintahan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17, Sultan Ibrahim mampu membawa Malaysia ke arah lebih makmur dan sejahtera.
“Sementara itu, Dewan Tertinggi BN turut menjunjunh kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menyempurnakan tempoh pemerintahan sebagai YDPA ke-16,” ujarnya.
- Sinar Harian
#pengampunan Najib #lembaga pengampunan #Dewan Tertinggi BN #Barisan Nasional #Zambry Abdul Kadir
;