Dewan sekolah dimakan anai-anai: Kerja baik pulih siap dua bulan lagi

Astro Awani
Mei 24, 2019 17:10 MYT
Aminolhuda (kiri) pada 20 Mei lalu melakukan tinjauan bersama guru besar SKPK Princess Elizabeth, Mohd Dini Karim (kanan) di dewan sekolah berkenaan yang ditutup selama setahun akibat serangan anai-anai. --fotoBERNAMA/Fail
Kerja-kerja penyelenggaraan struktur dewan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth Johor, akibat dimakan anai-anai, dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya telah memulakan tindakan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sejak Januari lalu.
"Merujuk laporan media berkaitan struktur dewan SKPK Princess Elizabeth, Johor Bahru, Johor akibat dimakan anai-anai, KPM ingin memaklumkan bahawa perkara itu sememangnya dalam perhatian kementerian," katanya hari ini.
Menurutnya, selaras dengan hasrat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berkualiti, terutama bagi murid berkeperluan khas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sendiri telah meminta kerja-kerja pembaikan berkenaan disegerakan sebaik hal itu dibawa ke perhatian beliau.
"Kementerian sentiasa prihatin dan mengutamakan keselamatan dan keselesaan murid bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan," menurut kenyataan itu lagi.
Isnin lalu, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor Aminolhuda Hassan meminta KPM menyegerakan kerja baik pulih struktur dewan sekolah tersebut yang keadaannya semakin teruk akibat dimakan anai-anai.
Aminolhuda berkata keadaan dewan berkenaan yang dilihat boleh membahayakan murid, telah ditutup hampir setahun setelah isu itu dikesan.
Pihak KPM di bawah Bahagian Pendidikan Khas juga, katanya, sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.
#Aminolhuda Hassan #anai-anai #dewan sekolah #Johor Bahru #Kementerian Pendidikan #kerja baik pulih #kerja pembaikan #kerja penyelenggaraan #Maszlee Malik #murid berkeperluan khas #pendidikan #pendidikan khas #sekolah #SKPK Princess Elizabeth
;