Dewan Rakyat zahir penghargaan terhadap Datuk Rosmee
Irwan Muhammad Zain
Disember 5, 2019 12:52 MYT
Disember 5, 2019 12:52 MYT
Dewan Rakyat hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Setiausaha Dewan, Datuk Rosmee Hamzah, yang akan bersara pada Februari tahun hadapan.
Rosmee adalah Setiausaha Dewan Rakyat Ke-12 dan dijadualkan bersara wajib selepas berkhidmat selama 19 tahun bagi jawatan itu sejak 26 Disember 2007.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menyampaikan ucapan itu mewakili ahli-ahli Parlimen sebelum Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan soal jawab lisan dimulakan.
“Untuk makluman dewan ini, hari ini adalah hari terakhir Datuk Rosmee Hamzah Setiausaha Dewan Rakyat kita yang bertugas mengendalikan urusan Dewan Rakyat setelah 40 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam dan 19 tahun berkhidmat untuk dewan yang mulia ini,” katanya disambut tepukan gemuruh ahli-ahli Parlimen.
Kor Ming turut menghadiahkan serangkap pantun untuk mengenang jasa Rosmee selama bertugas sebagai Setiausaha Dewan Rakyat.
“Di atas bukit tanamnya ubi. Burung tempua buatnya sarang. Bukan budi sebarang budi. Budi baik akan sentiasa dikenang,” katanya.
Setiausaha Dewan Rakyat bertanggungjawab terhadap perjalanan persidangan Dewan Rakyat dan membantu Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam hal berkaitan Dewan ketika bersidang.
Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen Ke-14 bersidang buat kali terakhir hari ini bagi tahun ini selepas sembilan minggu bersidang.