Dewan Rakyat: Transaksi hartanah kediaman turun mendadak akibat COVID-19
Firdaus Azil
November 17, 2020 09:21 MYT
November 17, 2020 09:21 MYT
KUALA LUMPUR: Prestasi pasaran harta tanah secara keseluruhan mencatatkan penurunan mendadak pada separuh tahun pertama 2020 berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, maklumat tersebut adalah berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Separuh Tahun Pertama 2020 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
“Terdapat sebanyak 75,318 transaksi harta tanah kediaman bernilai RM25.61 bilion yang dicatatkan dalam tempoh H1 2020 iaitu menurun 24.6% dalam bilangan (unit), dan 26.1% dalam nilai berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Prestasi di semua negeri tidak memberangsangkan kerana semuanya mencatatkan penurunan dalam aktiviti pasaran,” katanya melalui jawapan bertulis hari ini.
Terdahulu, Wong Ling Biu (PH-Sarikei) meminta beliau menyatakan berapa peratuskah penurunan penjualan harta tanah semasa pandemik wabak COVID-19.
Selain itu, beliau turut bertanya mengenai penurunan penjualan hartanah yang dijangka tahun depan.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun 2020 .
Keadaan itu menurutnya, adalah disebabkan sektor ekonomi telah dibuka semula secara berperingkat dan permintaan luar semakin bertambah baik
“Dengan aktiviti ekonomi yang telah dimulakan semula sejak awal Mei 2020, aktiviti pasaran harta tanah yang dicatatkan pada bulan Mei dan Jun 2020 juga telah menyaksikan perubahan yang positif.
“Walaupun terdapat peningkatan aktiviti pasaran dan langkah-langkah yang dicadangkan di bawah Pelan Jana Ekonomi Negara (PENJANA), pasaran harta tanah dijangka akan kekal perlahan pada separuh kedua tahun 2020 dan dijangka akan kekal perlahan sehingga tahun 2021,” katanya lagi.
Tambah Zuraida, tahap peningkatan akan bergantung kepada faktor domestik dan luaran seperti kestabilan politik, harga minyak dan komoditi global serta perkembangan pandemik COVID-19.
#Dewan Rakyat
#harga rumah
#harga tanah kediaman
#KPKT
#Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
#COVID-19
#Malaysia
#menteri
#politik
#kerajaan
#ekonomi
#PENJANA
#pandemik
#Laporan Pasaran Hartanah
#NAPIC
#hartanah
#harta
#transaksi