Dewan Rakyat tolak usul SOSMA: Pecat menteri, timbalan menteri tidak hadir - Ku Li
Abd Razak Mohd Ali
Mac 26, 2022 13:23 MYT
Mac 26, 2022 13:23 MYT
IPOH: Menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir ketika pengundian usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat baru-baru ini, patut dipecat.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, mereka perlu bertanggungjawab menyebabkan usul penting untuk keselamatan negara tidak dapat diluluskan.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memecat mereka kerana cuai terhadap tanggungjawab masing-masing.
“Ia tanggungjawab bersama apabila usul seumpama itu, nak jaga keselamatan negara, tidak diendah, tidak dipeduli oleh menteri kabinet yang bertanggungjawab membuat keputusan itu supaya ia disambung, dilanjutkan masa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Gagasan Melayu Perak (GMP) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, ahli politik veteran itu berpendapat, Perdana Menteri tidak akan berbuat demikian kerana akan menjejaskan kedudukannya sendiri.
“Dia tak akan buat, dia tak akan buang. Kalau buang, dia jatuh,” ujarnya.
Menurutnya, perkara seumpam itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
“You putus nak bawa usul dalam Parlimen, you tahu you punya bilangan tak ramai, mengapa tidak hadir,” tambahnya.
Pada 22 Mac lalu, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.
Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.
Keputusan undi yang menyokong kemudiannya ditambah satu lagi, menjadikan 85 setelah didapati berlaku kekhilafan pada hari pengundian dibuat.