Dewan Rakyat tegas, tidak tolak ansur jika YB langgar peraturan - Speaker

Afiezy Azaman
Februari 27, 2024 10:40 MYT
Johari melafazkan ikrar Rukun Negara sebelum Majlis Persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengambil sikap tegas dan tidak akan bertolak ansur terhadap Ahli Parlimen yang tidak mematuhi peraturan mesyuarat.
Penegasan itu diberikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sejurus lafaz ikrar Rukun Negara secara penuh dilaksanakan dalam Majlis Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
"Kita baru saja sebentar tadi berikrar untuk mencapai lima prinsip Rukun Negara, saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat (YB) dapat mencapai prinsip-prinsip itu.
"YB hendaklah menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat sepanjang berada dalam Dewan yang mulia ini kerana kita semua disaksikan oleh rakyat melalui pelbagai platform.
"YB hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan semasa berucap atau berbahas termasuk menjaga kesopanan dan kesusilaan seperti yang telah kita ikrarkan tadi," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya mempamerkan teladan yang baik sepanjang persidangan Parlimen.
Sultan Ibrahim menitahkan semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara supaya menjaga adab dan tatatertib, selain menggunakan pertuturan yang sopan.
Baginda turut memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.
#Dewan Rakyat #Rukun Negara #Yang di-Pertuan Agong #Dewan Negara
;