Dewan Rakyat: 'Task force' kaji isu gaji permulaan jurutera rendah ditubuh - Fadillah

Fareez Azman
Mac 14, 2022 09:20 MYT
Menteri Kanan Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap pada sesi menjawab perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya telah menubuhkan satu task force (pasukan bertindak) bagi meneliti isu gaji permulaan jurutera rendah yang dibangkitkan beberapa pihak sejak tahun lalu.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, jawatankuasa yang diketuai Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) itu berperanan membuat kajian lanjut dari pelbagai sumber dalam menangani isu berkenaan.
"Kementerian Kerja Raya sedar akan aduan dan ketidakpuasan ke atas kebajikan termasuk gaji permulaan rendah yang dibangkitkan lepasan graduan jurusan kejuruteraan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) baru-baru ini.
"Untuk menangani isu ini, Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) telah mewujudkan satu taskforce khas untuk membuat kajian lanjut hasil sebuah artikel bertajuk jurutera miskin dikeluarkan akhbar Utusan Malaysia pada 28 Oktober 2021," jelasnya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Jelas Fadillah, pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada 22 November tahun lalu itu akan mengenal pasti beberapa perkara dalam mencari jalan penyelesaian.
"Pertama, mengenal pasti kesahihan isu gaji pemulaan jurutera rendah dengan menjalankan kaji selidik menerusi data diperolehi dari pelbagai sumber.
"Kedua mengenal pasti punca utama isu gaji permulaan jurutera rendah dan ketiga memberi cadangan hala tuju dan tindakan untuk pertimbangan pihak berkuasa dan pihak berkenaan.
"Kajian telah selesai dan hasilnya akan dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan dalam masa terdekat," jelasnya lagi.
Lembaga Jurutera Malaysia tambah Fadillah turut akan mengemukakan kenyataan cadangan untuk maklumat awam bagi menangani isu itu.
#Menteri Kerja Raya #pasukan petugas khas #Lembaga Jurutera Malaysia #gaji jurutera #Dewan Rakyat