Dewan Rakyat: Subsidi meningkat ke RM77 bilion, tidak pernah ditarik balik - PM

Firdaus Azil
Julai 18, 2022 11:21 MYT
Perdana Menteri berkata, langkah intervensi kerajaan memastikan kadar inflasi negara kekal rendah, dan mungkin antara yang terendah di dunia. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dakwaan sesetengah pihak bahawa subsidi kerajaan untuk beberapa barangan keperluan asas telah ditarik balik adalah tidak benar sama sekali, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah perbelanjaan subsidi untuk tahun ini sahaja telah meningkat kepada RM77 bilion, berbanding peruntukan asal RM31 bilion, dan ia mungkin akan bertambah.
Sewaktu menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini, Ismail Sabri berkata, selain subsidi, kerajaan juga telah melaksanakan proses intervensi bagi memastikan kadar inflasi negara terendah di rantau Asia Tenggara.
“Subsidi tersebut kalau saya boleh perincikan sedikit – minyak masak RM4 bilion, gandum RM40 juta, gas LPG RM2.6 bilion, diesel RM7.5 bilion, RON95 RM27 bilion, tarif elektrik dijangka bagi RM5 bilion.
“Jadi untuk mengurangkan tekanan harga, maka kerajaan meneruskan subsidi. Saya sebut meneruskan subsidi, tidak ada yang ditarik balik.
"Kalau ada kempen kata sila kembalikan subsidi, itu tidak betul kerana subsidi tidak pernah ditarik balik sejak dari mula kita laksanakan,” katanya lagi.
Dewan Rakyat | Subsidi RM77 bilion untuk tangani isu kos sara hidup
Perdana Menteri berkata, peruntukan subsidi tersebut juga mungkin akan ditambah, bergantung kepada keadaan semasa.
Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson itu ingin mengetahui langkah kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup, dan memastikan kestabilan harga barangan supaya kekal pada harga mampu milik kepada rakyat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kesan pelaksanaan subsidi itu menjadikan kadar inflasi negara kekal rendah.
"Saya beri contoh kesan daripada subsidi kita, menyebabkan inflasi kita kekal rendah; saya kira paling rendah di Asia Tenggara dan mungkin seluruh dunia.
"Inflasi kekal pada 2.8 peratus, dan jika subsidi tidak diberikan, inflasi mungkin meningkat antara 8 hingga 11 peratus.
“Saya banding dengan negara lain, Thailand 7.7 peratus inflasi, Singapura 5.6 peratus, Indonesia 4.4 peratus, negara lain yang besar United Kingdom 9.1 peratus, Amerika Syarikat 9.1 peratus, dan Kesatuan Eropah 8.6 peratus.
“Kerajaan telah belanja lebih RM70 bilion bagi memastikan rakyat tidak terkesan teruk akibat daripada kenaikan harga barang yang berlaku di seluruh dunia," katanya lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil langkah terbaik untuk membanteras kegiatan menyeludup minyak masak bersubsidi ke luar negara.
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri sedang mengambil tindakan bagi memastikan penyelewengan dapat dikurangkan.
“Itu sebahagian intervensi kerajaan, selain pelan jangka pendek, jangka panjang, mengenai pelan jangka pendek untuk kita kurangkan kesan kenaikan harga.
"Dan tindakan kerajaan banyak berjaya menstabilkan barangan, bekalan dan juga menurunkan harga,” katanya lagi.
#Dewan Rakyat #subsidi #inflasi negara #ismail sabri yaakob
;