Dewan Rakyat: Selepas ali baba, kini rakyat bersaing dengan 'ali bangla' - MP Paya Besar

Hasimi Muhamad
Mac 11, 2024 11:21 MYT
Mohd Shahar memberitahu Dewan Rakyat bahawa rakyat negara ini bukan sahaja berdepan isu ali baba dalam perniagaan, tetapi terpaksa bersaing dengan fenomena 'ali bangla'. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah memberitahu Dewan Rakyat bahawa rakyat negara ini bukan sahaja berdepan isu ali baba dalam perniagaan, tetapi terpaksa bersaing dengan fenomena 'ali bangla'.
Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) itu berkata, warganegara perlu bersaing dengan kumpulan bukan warganegara, yang dilihat cuba memonopoli sektor pekerjaan termasuk bergelar pengusaha.
"Adakah Kementerian dan Yang Berhormat sedar bahawa sekarang isu bukan lagi ali baba tetapi ali bangla, di mana kita bukan lagi bersaing antara sesama masyarakat Malaysia, tetapi kita bersaing dengan mereka yang bukan warganegara.
"Dulunya mereka berkunjung ke tempat kita sebagai buruh kasar dan sekarang ini mereka berusaha menjadi pengusaha.
"Bagaimana Yang Berhormat melihat dari struktur asas ekonomi kerana apabila mereka menjadi (memiliki) syarikat dan pengusaha.
"Kita hantar anak-anak bumiputera dan bukan bumiputera untuk TVET, tetapi akhirnya menjadi dominasi," katanya ketika mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat pada Isnin.
Warganegara perlu bersaing dengan 'Ali Bangla' - Shahar
Menjawab isu tersebut, Rafizi Ramli berkata kerajaan ketika ini komited untuk mengurangkan pekerja asing dan pendatang asing tidak berkemahiran dalam negara termasuk melibatkan penambahbaikan dari segi dasar.
Jelas Menteri Ekonomi itu, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada April depan akan membincangkan mekanisme khusus bagi mengurangkan jumlah pekerja asing secara berkala.
"Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) akan dibentangkan pada tahun depan akan meletakkan sasaran pengurangan jumlah pekerja asing yang lebih drastik dan ketara.
"Saya sebut di Parlimen hari ini supaya saya dapat menyediakan industri dan ekonomi kita dengan lebih awal," katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi (PH-Pandan) berkata kerajaan juga dalam usaha membentangkan Akta Anti-Ali Baba.
"Kenapa kita ada fenomena ini (ali baba) ialah penduduk tempatan sendiri, sama ada menyewakan atau memberikan lesen.
"Dia (peniaga tempatan) dapat untuk berniaga tetapi dia lebih gemar untuk dapat RM3,000 atau RM4,000 sebulan dengan memakai nama dia saja.
"Jadi selagi perkara-perkara ini tidak diselesaikan dan buat masa sekarang kita tak ada undang-undang khususnya yang boleh diambil tindakan kepada penduduk tempatan yang membolehkan fenomena ini semakin bertambah," ujar Rafizi.
#Ali Baba #Fenomena ali bangla #Dewan Rakyat #Rafizi Ramli #Mohd Shahar Abdullah #pendatang asing
;