Dewan Rakyat: Seksyen 309 Kanun Keseksaan cubaan bunuh diri mansuh

Astro Awani
Mei 22, 2023 18:40 MYT
Ramkarpal Singh berkata, Seksyen 309 adalah peruntukan dari abad ke-19 yang wujud kerana anggapan lama bahawa tindakan menjenayahkan adalah cara terbaik untuk menghalang perbuatan percubaan membunuh diri. -Foto fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 bagi memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas lapan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU itu pertama kali dibentangkan Timbalan Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh pada 4 April lalu bagi bacaan kali pertama.
Beliau berkata pemansuhan Seksyen 309 untuk meniadakan kesalahan percubaan bunuh diri di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan, akan menjadi anjakan dalam usaha mencegah kes cubaan bunuh diri di Malaysia dan menggalakkan mereka yang terkesan tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan.
"Dengan ini ia akan menghapuskan stigma terhadap perbuatan cubaan bunuh diri, seterusnya menurunkan kadar kematian bunuh diri," katanya ketika membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Ramkarpal berkata, Seksyen 309 adalah peruntukan dari abad ke-19 yang wujud kerana anggapan lama bahawa tindakan menjenayahkan adalah cara terbaik untuk menghalang perbuatan percubaan membunuh diri.
Menurutnya, kerajaan berpandangan Seksyen 309 Akta 574 wajar dimansuhkan kerana negara-negara luar dilihat mengambil pendekatan rawatan dan bukannya pendakwaan bagi menangani isu berkenaan.
"Namun begitu, kesalahan persubahatan membunuh diri di bawah peruntukan Seksyen 305 dan 306 Akta 574 akan dikekalkan menjadi suatu kesalahan, dengan persubahatan dalam cubaan bunuh diri akan turut dijadikan kesalahan jenayah di bawah peruntukan sama," jelasnya
#Dewan Rakyat #bunuh diri #Rang Undang-Undang #Parlimen
;