Dewan Rakyat rakam takziah kepada keluarga Allahyarham Hasbullah
Firdaus Azil
November 17, 2020 10:32 MYT
November 17, 2020 10:32 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini merakam ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman di atas pemergian beliau semalam.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, Allahyarham menjadi Ahli Dewan Rakyat sejak 2013 dan sumbangan beliau kepada negara amat dihargai.
"Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang berwibawa dan amat aktif dalam urusan Parlimen.
"Allahyarham juga merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan ahli Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Allahyarham amat besar dan bermakna kepada negara,” katanya sebelum sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri bermula hari ini.
Azhar juga meminta Dewan Rakyat bertafakur mengikut amalan agama masing-masing selama seminit.
Beliau turut mengharapkan ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi ketentuan Tuhan dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Allahyarham Hasbullah meninggal dunia pada usia 63 tahun, di Raub, Pahang semalam, akibat sakit jantung.