Dewan Rakyat: Projek perintis lampu solar-LED di Hulu Perak, Lawas
Astro Awani
Disember 2, 2020 14:11 MYT
Disember 2, 2020 14:11 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar bakal memulakan projek perintis lampu solar-LED di dua buah kampung di Hulu Perak dan Lawas, Sarawak.
Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, menerusi program itu, kementeriannya tidak lagi perlu membayar bil elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Kita mulakan projek perintis ini di dua kampung di Hulu Perak dan Lawas, purata kos lampu solar-LED adalah antara RM1,200 hingga RM1,800 setiap tiang, yang boleh tahan sehingga lima tahun.
"Kalau projek ini berjalan, kita akan melihat semula bajet ini supaya kita tidak membayar komponen yang paling banyak di jalan kampung iaitu adalah bil yang ditanggung oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya di Parlimen di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Abd Latiff berkata, program tersebut dipelopori oleh anak syarikat TNB.
Katanya, pada masa yang sama tiang lampu solar-LED itu juga boleh digunakan untuk teknologi mudah alih generasi kelima (5G) pada masa hadapan.
Namun katanya keberkesanan projek perintis itu hanya dapat dinilai antara enam bulan hingga setahun memandangkan lampu solar-LED itu mampu bertahan sehingga 35,000 jam serta bergantung kepada cahaya matahari.