Dewan Rakyat: Projek pengangkutan berskala besar catat kemajuan - Wee Ka Siong

Firdaus Azil
Julai 19, 2022 12:14 MYT
Wee menjawab soalan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Selasa, yang ingin mengetahui status projek ECRL, HSR, Pan-Borneo, MRT, dan lebuh raya baru. - JAPEN
KUALA LUMPUR: Status beberapa projek pengangkutan berskala besar seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR), MRT 2 dan 3, sedang bergerak di atas landasan yang tepat, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sehingga bulan Jun 2022, pembinaan keseluruhan projek ECRL telah mencapai kemajuan sebanyak 31.48 peratus.
"Pembinaan projek" ECRL ini dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Temerloh dan Seksyen C dari Temerloh ke Pelabuhan Klang.
“Sehingga bulan Jun 2022, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebanyak 31.48%. Penyiapan projek ini kelak bakal menjimatkan masa perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur selama 4 jam sahaja berbanding 7 hingga 8 jam ketika ini," katanya.
Bagi projek HSR Kuala Lumpur dan Singapura pula, Wee berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari negara jiran itu pada 16 Mei lepas, untuk memperhalusi cadangan model baharu projek tersebut.
Selain itu, katanya lagi, satu jawatankuasa khas bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Thailand telah ditubuhkan untuk membincangkan mengenai projek HSR Kuala Lumpur - Bangkok.
"Sebagai sebuah projek mega yang strategik, Kementerian Pengangkutan perlu melihat cadangan pembangunan projek ini pada skala yang lebih besar iaitu ketersambungan kepada tanah besar ASEAN,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Selasa, yang ingin mengetahui status projek ECRL, HSR, Pan-Borneo, MRT, dan lebuh raya baru bagi mengurangkan kesesakan terutama ketika cuti panjang dan perayaan.
Dalam pada itu Wee berkata, projek MRT 2 telah mencatat kemajuan sebanyak 98.4 peratus, dan dijangka beroperasi pada Januari 2023, manakala MRT 3 pula masih dalam peringkat perincian dari segi teknikal.
#Dewan Rakyat #Wee Ka Siong #HSR #ECRL
;