Dewan Rakyat: Perkasa kawalan sempadan dengan aset, fasiliti moden - Hamzah
Astro Awani
November 26, 2020 13:05 MYT
November 26, 2020 13:05 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka pelan strategik secara holistik bagi memperkasa kawalan keselamatan sempadan negara dengan melibatkan perolehan aset dan fasiliti moden dan terkini.
Ia melibatkan aset dan fasiliti seperti dron, Armoured Personnel Carrier (APC), Night Vision Goggles (NVG) dan GPS Tracker, kata menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Katanya, pihaknya turut berpandangan, aspek kesiapsiagaan dan keupayaan anggota keselamatan yang bertugas di sempadan harus diperkasakan.
Ia dapat direalisasikan menerusi latihan dan kerjasama strategik bersama agensi dalam dan luar negara, tambahnya.
"Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan jenayah rentas sempadan.
"Sehubungan itu, satu pelan strategik secara holistik sedang dirangka bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan negara dengan menggunakan aset dan fasiliti moden seperti dron," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Abdul Latiff bertanya perincian mengenai serangan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa dan langkah terkini kerajaan dalam memperketatkan lagi kawalan sempadan antarabangsa agar sindiket penyeludupan lumpuh sepenuhnya.
Dalam kejadian itu, Sarjan Baharuddin Ramli maut manakala Sarjan Norihan Tari cedera parah ditembak selepas diserang kumpulan penyeludup ketika menjalankan risikan di kawasan Pintu A3, Pos Tembok Sempadan 9 (TS9), Padang Besar.
Sementara itu, petang semalam, seorang lagi anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam.
#Hamzah Zainuddin
#Kementerian Dalam Negeri
#KDN
#PGA
#tembakan
#jenayah rentas sempadan
#Dewan Rakyat
#penyeludup
#serangan
#padang besar
#sempadan
#jenayah