Dewan Rakyat: Perbincangan perlu lebih fokus, tidak menyimpang

Astro Awani
Ogos 6, 2021 11:17 MYT
RAZALI: Generasi hari ini ingin lihat politik dalam negara kita bukan seperti politik di pasar. Kita mesti bersedia, kita mesti berpandukan pada tajuk. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen perlu mencontohi perbincangan di Dewan Negara.
Demikian pendapat disuarakan Ahli Dewan Negara Datuk Razali Idris yang melihat perdebatan di Dewan Rakyat sering menyimpang dari topik asal yang perlu dibincangkan.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator berkata, ahli Dewan Rakyat sepatutnya fokus membincangkan sesuatu topik yang dipilih dan dibangkitkan pada satu-satu masa.
"Sebenarnya, perbahasan di Dewan Negara agak berbeza dengan di Dewan Rakyat.
"(Perbincangan di) Dewan Negara agak spesifik, dengan tajuk yang kita hendak bahas. Ini berbeza (dengan Dewan Rakyat), jauh sangat berbeza.
"Dan, sebelum persidangan Dewan Negara, kita perlu bersedia dengan fakta-fakta yang cukup. Kita tak ada celahan-celahan yang begitu banyak, kita ada satu dua celahan sahaja, dan ia dikawal oleh Speaker.
"Generasi baru hari ini ingin melihat politik dalam negara kita bukan seperti politik di pasar. Kita mesti bersedia, kita mesti berpandukan pada tajuk," katanya.
Razali berkata demikian pada sesi Dialog Tiga Penjuru, membincangkan topik 'Pemulihan Negara: Jangan Gaduh-gaduh' yang bersiaran di Astro AWANI pada Khamis.
Beliau memberi contoh, sekiranya tajuk yang dibincangkan ialah vaksinasi COVID-19 katanya, perbincangan harus tertumpu pada vaksinasi.
"Jangan berjangkit dengan tajuk semalam atau tajuk esok yang belum sampai lagi," tambahnya.
#Dewan Rakyat #Dewan Negara #pembangkang #Parlimen #politik #Razali Idris
;