Dewan Rakyat: Penggunaan kalimah Allah hanya di Sabah, Sarawak - Anwar

Hasimi Muhamad
Mei 23, 2023 03:20 MYT
Anwar berkata tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan oleh penganut Kristian, tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan tetap berpendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam penerbitan oleh orang bukan Islam di Semenanjung, kecuali di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan oleh penganut Kristian, juga tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.
Jelas beliau lagi, keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu turut telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Seri Paduka Baginda memberi pandangan supaya keputusan semua harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu 'Allah' tidak boleh digunakan di Semenanjung dan kelonggaran diberikan di Sabah dan Sarawak.
"Bila keputusan Jemaah Menteri pada 7 Februari memperakukan apa yang disebut oleh Agong, Peguam Negara setelah meneliti kes (Jill Ireland) dan melihat kes ini, khusus dari segi pentadbiran tidak melibatkan 'Allah' kerana keputusan peraturan Kementerian Dalam Negeri, iaitu bersabit dengan dokumen oleh Jill untuk Sarawak.
"Maka keputusan Peguam Negara adalah untuk tidak membuat rayuan kerana pada pendapat Peguam Negara, yang diterangkan keputusan beliau adalah selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu.
"Keputusan ini juga sama dengan keputusan yang diubah selama ini terutama pada 1986 dan sebelumnya juga, iaitu keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan arahan pentabiran," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Idris bertanyakan adakah pihak Kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri terlebih dahulu sebelum kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang begitu besar implikasinya terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Pada 15 Mei, kerajaan dan KDN telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.
Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, masalah yang wujud ketika ini adalah kerana arahan pentadbiran KDN pada 1986 adalah bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa keputusan yang dibuat oleh kerajaan memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menerbitkan kalimah Allah dengan sewenang-wenangnya.
"Saya tak fikir munasabah yang digunakan dan dipolitikkan isu ini. Pendirian kerajaan hari ini dalam keputusan Jemaah Menteri memperaku keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja Melayu.
"Kelonggaran diberikan dengan syarat-syarat untuk Sabah dan Sarawak dan ini keputusan yang dibuat menyebabkan tidak ada rayuan dalam kes.
"Bahkan, hakim itu sebut betul-betul dalam keputusan bahawa ini keputusan pentadbiran dan bukan keputusan 'theological'," katanya lagi.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata usaha memperkemaskan percanggahan tersebut sedang dilakukan, di mana Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan supaya kertas cadangan Jemaah Menteri dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Julai ini.
"Kita akan rujuk kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan akan memberikan beberapa pandangan memperkemaskan peraturan ini supaya keputusan muktamad (penggunaan kalimah Allah) tidak boleh dipakai di Semenanjung tetapi boleh dengan ruang dan syarat tertentu di Sabah dan Sarawak," tambah Perdana Menteri.
#Anwar Ibrahim #isu kalimah Allah #tarik balik rayuan #Dewan Rakyat