Dewan Rakyat: Pekerja Malindo Air boleh failkan representasi pemulihan kerja - Saravanan

Firdaus Azil
November 3, 2020 12:06 MYT
Pekerja Malindo Air yang diberhentikan serta-merta juga boleh mendapatkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sehingga 6 bulan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Golongan pekerja yang merasakan penamata perkhidmatan mereka dilakukan secara tidak adil dan tanpa alasan munasabah, mempunyai hak untuk memfailkan representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.
Ketika menjawab soalan di sesi Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Tapah itu berkata, tindakan berkenaan membolehkan golongan pekerja dipulihkan ke pekerjaan asal.
“Untuk makluman, setakat 2 November 2020, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) telah menerima sebanyak 31 kes representasi pemulihan kerja di bawah seksyen 20 Akta 177 yang melibatkan bekas pekerja-pekerja Malindo Air.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 24 kes telah berjaya diselesaikan melalui rundingan damai manakala bakinya sebanyak 7 kes masih lagi dalam tindakan JPP bagi proses rundingan damai,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang ingin mengetahui apakah bantuan akan diberikan kepada pekerja Malindo Air yang telah diberhentikan kerja serta-merta.
Selain itu, Kasthuri turut ingin mengetahui rancangan Kementerian untuk memastikan ada perlindungan pekerjaan untuk golongan tersebut.
Menjawab lanjut, Saravanan berkata, Jabatan Tenaga Kerja telah berbincang dengan pengurusan Malindo Air, JPP, dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung isu pematuhan perundangan pemburuhan, serta langkah menjaga kebajikan.
Selain itu, beliau berkata, pekerja Malindo Air yang diberhentikan serta-merta boleh mendapatkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sehingga 6 bulan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
“Bayaran elaun akan dibuat antara 80 peratus hingga 30 peratus daripada gaji akhir, di bawah had gaji RM4,000. Bantuan tersebut adalah seperti Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latuihan, Fi Latihan, dan Faedah bantuan pencarian pekerjaan.
“Pada masa sama, pekerja Malindo Air yang telah diberhentikan kerja boleh mendaftar dengan Portal MyFutureJobs, iaitu portal pekerjaan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan,” katanya lagi.
#M Saravanan #Kasthuri Patto #Malindo Air #Dewan Rakyat #Parlimen #perkeso #berhenti kerja #rakyat #keselamatan #elaun pekerjaan
;