Dewan Rakyat panas kerana isu helikopter PM, TPM

Ridauddin Daud
September 14, 2023 13:05 MYT
Menurut Takiyuddin, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sungai Besar terpaksa menghabiskan puluhan ribu ringgit hanya untuk menyediakan lokasi pendaratan helikopter. - Gambar/ Japen
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Khamis panas selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN - Kota Bharu) membangkitkan isu penggunaan helikopter oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Takiyuddin mempersoalkan mengapa tiga buah helikopter digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menghadiri program yang disifatkan ‘tidak begitu besar’ di Sungai Besar, Selangor.
Dakwanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sungai Besar terpaksa menghabiskan puluhan ribu ringgit hanya untuk menyediakan lokasi pendaratan helikopter.
Setiausaha Agung Pas itu turut memetik sebuah artikel melaporkan Anwar menolak perbelanjaan baik pulih kediaman dan kereta untuk membantu golongan sasar.
Tambahnya, PM Anwar tidak mengambil peruntukan kereta kerana mahu menggunakan halikopter.
Kenyataan itu membuatkan Dewan panas apabila Sim Tze Tzin (PH - Bayan Baru) dan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) bangkit dengan memetik Peraturan 36 (6) bahawa Takiyuddin telah membuat sangkaan jahat terhadap Anwar.
“Kota Bharu minta penjelasan. Saya nak tanya soalan. Boleh jawab. Kata nak gencatan senjata, nak aman, tetapi sekarang buat macam-macam tuduhan,” kata Tze Tzin.
“Kota Bharu membuat sangkaan jahat mengatakan Perdana Menteri menolak untuk menerima membaik pulih rumah tetapi itu adalah tujuannya untuk menggunakan helikopter,” kata Dr Mohammed Taufiq
Timbalan Speaker, Datuk Ramli Md Nor kemudiannya menyatakan Tze Tzin atau Mohammed Taufiq boleh membuat usul berkenaan apa yang dibahaskan oleh Takiyuddin itu agar ia dapat dinilai dan dibuat keputusan.
#helikopter #Takiyuddin Hassan #Anwar Ibrahim #Zahid Hamidi
;