Dewan Rakyat: 'Pakaian jururawat wanita ketat, menampakkan bentuk badan' - MP Kuantan

Hasimi Muhamad
Jun 15, 2023 07:53 MYT
Wan Razali menyifatkan, kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan tidak mematuhi syariah - Foto tangkap layar video Parlimen
KUALA LUMPUR: Isu pemakaian pakaian jururawat wanita di fasiliti kesihatan awam dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menyifatkan, kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan tidak mematuhi syariah.
"Saya ingin membangkitkan pemakaian (uniform) jururawat wanita iaitu kebanyakan berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan, di mana ia tidak patuh syariah.
"Saya ingin bertanya, adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelongaran?," soalnya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Membahas lagi, ahli Parlimen daripada Pas itu meminta kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil contoh beberapa hospital lain yang memberi pilihan kepada kakitangan wanita mereka untuk mengenakan pakaian yang lebih sesuai.
"Contohnya Hospital USM Kubang Kerian dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Kuantan, tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua hospital ini yang memberi pilihan etika yang lebih baik buat pekerja,” tambah Wan Razali.
Sementara itu, beliau turut membangkitkan mengenai pemberian biasiswa kepada pelajar perubatan sebagai usaha untuk memantapkan lagi tenaga kerja selari dengan tonggak keempat Kertas Putih Kesihatan.
"Saya ingin mendapatkan pengesahan berkenaan biasiswa kepada pelajar perubatan, adakah peruntukan ditambah bagi memberi peluang pelajar menyambung pendidikan?," soalnya.
Pada masa yang sama, Wan Razali berharap usaha KKM untuk mereformasikan sistem kesihatan ke arah lebih berdaya tahan dan berkebajikan dapat dicapai.
#Dewan Rakyat #Wan Razali Wan Nor #pakaian jururawat #ketat