Dewan Rakyat: Op Curiga sentiasa digerakkan pantau ruang udara negara - Hishammuddin
Syafik Shukri Jalil
September 22, 2021 17:40 MYT
September 22, 2021 17:40 MYT
KUALA LUMPUR: Ruang udara negara sentiasa dipantau menerusi Op Curiga menggunakan sistem radar pertahanan udara jarak jauh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ia selepas ruang udara nasional di atas Zon Maritim Malaysia (ZMM) sebelum ini diceroboh 16 pesawat tentera udara China pada 1 Jun 2021.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ini antara langkah yang diambil dalam memastikan perkara sama tidak berulang di masa akan datang.
‘’Mengenai keselamatan ruang udara isu ketiga Tuan Yang Dipertua dan menjawab soalan Yang Berhormat Sibuti (Lukanisman Awang Sauni) yang bertanya mengenai pencerobohan pesawat udara tentera Republik Rakyat China di kawasan Malaysia baru-baru ini.
‘’Apa tindakan yang telah diambil dan langkah-langkah untuk mengelakkan perkara ini tidak berulang, saya ingin menjelaskan bahawa menerusi Operasi Curiga, ruang udara nasional sentiasa dipantau oleh sistem radar pertahanan udara jarak jauh TUDM,’’ katanya.
TUDM |16 pesawat tentera China ceroboh ruang udara
Beliau berkata demikian semasa menggulungkan perbahasan titah Diraja Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Op Curiga sentiasa digerakkan pantau ruang udara Malaysia
Selain itu, beliau menyentuh mengenai usaha memperkukuhkan lagi kawalan sempadan melibatkan Malaysia-Thailand berdasarkan soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Tambahnya, Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan pelbagai operasi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand termasuk Operasi PAGAR II, Operasi Kota BRAVO/CHARLIE/DELTA dan Operasi MERPATI sektor 8 Briged.
Malah ujarnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut bekerjsama rapat dengan Royal Thai Army (RTA) dalam memperkukuhkan keselamatan sempadan dua negara ini.
‘’ATM bersama agensi-agensi penguatkuasa Kerajaan yang lain turut bekerjasama rapat dengan RTA melalui dua Pos Sempadan Terkoordinasi (PST) yang telah diwujudkan semenjak tahun 2004.
‘’Selain itu, terdapat juga rancangan dua hala yang melibatkan TDM dengan RTA melalui pelaksanaan rondaan bersama (Joint Border Patrol) dan sebarang permasalahan yang berlaku di sempadan akan dikoordinasikan oleh Malaysia Thailand Border Coordination Office (MTBCO),’’ tambahnya lagi.
*Jom kita pantau apa Ahli Parlimen buat pada 13 hingga 15 September; 20 hingga 23 September; 27 hingga 30 September; 4 hingga 7 Oktober; dan 10 hingga 11 Oktober di sini.
#Op Curiga TUDM
#pencerobohan pesawat China
#sempadan Malaysia-Thailand
#Royal Thai Army
#Dewan Rakyat