Dewan Rakyat: NAFAS dilantik pemborong tunggal insentif benih padi

Fauzi Suhaimi
November 26, 2020 14:32 MYT
Ronald berkata, mekanisme ini akan dapat menyelesaikan masalah manipulasi dan eksploitasi dalam pembekalan benih padi sah. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong tunggal di bawah program Insentif Benih Padi Sah untuk membuat pembekalan terus kepada pesawah.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, mekanisme ini akan dapat menyelesaikan masalah manipulasi dan eksploitasi dalam pembekalan benih padi sah.
Beliau berkata, kaedah pemutuan sebenar melalui prosedur operasi standard (SOP) yang dibangunkan kementerian dengan kerjasama SIRIM turut diperkenalkan bagi menyelesaikan isu kadar potongan yang dikenakan dalam pemutuan padi.
"SOP ini bagi memastikan padi dijual adalah padi bersih dan berkualiti serta dapat memastikan kerajaan tidak membayar Subsidi Harga Padi berdasarkan padi kasar yang mengandungi segala komponen tidak diingini dan sekali gus mengelakkan ketirisan pembayaran subsidi kerajaan.
"Semua kilang padi termasuk Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan swasta perlu melaksanakan pemutuan padi berdasarkan SOP ini," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam pada itu, Ronald berkata, secara keseluruhannya, peruntukan diluluskan kepada kementeriannya hanya menurun sebanyak RM100 juta atau dua peratus berbanding dengan tahun 2020, membabitkan perbelanjaan mengurus dengan peruntukan yang diluluskan menurun sebanyak RM250 juta atau tujuh peratus berbanding tahun lalu.
"Penurunan di bawah perbelanjaan mengurus disebabkan pengurangan terutama bagi peruntukan membabitkan emolumen dan pembelian aset.
"Bagi perbelanjaan pembangunan, peruntukan diluluskan bertambah sebanyak RM0.15 bilion atau bersamaan dengan 11 peratus berbanding tahun 2020.
"Biarpun terdapat pengurangan bagi peruntukan mengurus, kementerian katanya akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Belanjawan.
"Bagi tahun 2021 dengan efektif bagi memastikan sektor agromakanan terus positif di setiap peringkat rantaian makanan," katanya.
#Dewan Rakyat #NAFAS #Menteri Kewangan #Ronald Kiandee #Menteri Pertanian dan Industri Makanan #Sirim #BERNAS #Padiberas Nasional Berhad
;