Dewan Rakyat: Mekanisme subsidi bersasar siap 75 peratus - Ahmad Maslan
Hasimi Muhamad
Mei 24, 2023 15:45 MYT
Mei 24, 2023 15:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi bersasar sudah 75 peratus selesai setakat ini.
Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata hasil perbincangan berhubung mekanisme itu yang membabitkan pelbagai jawatankuasa kemudiannya akan dibentangkan di Kabinet sebelum sebarang keputusan lanjut dimuktamadkan.
Ahli Parlimen Pontian itu turut tidak menolak kemungkinan perincian mengenai mekanisme itu akan diumumkan pada sesi pembentangan Belanjawan 2024.
"Keputusan subsidi bersasar itu memang sudah dibuat bahawa kita perlu mengadakan subsidi bersasar dan (kerajaan) tak boleh mengadakan susbidi tersasar.
"Keputusan itu secara prinsip dasar dah ada, bagaimana kaedah terperinci belum lagi diputuskan sama ada menggunakan kad pengenalan, kad khas, atau sisi kereta.
"Itu beberapa perkara yang belum diputuskan sama ada menggunakan senarai M40 atau T20," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali mengenai Cukai Atas Pendapatan dan Pencegahan Pelarian dan Pengelakan Cukai (PPPDK).
Jelas beliau, ketika ini subsidi bersasar telah dilaksanakan termasuk kepada kumpulan T20 melibatkan kos menunaikan ibadah haji dan subsidi elektrik.
"Jadi, sudah tiba masanya untuk diesel dan RON95.
“Kita masih lagi memperhalusi dan masih belum ada lagi kemuktamadkan kaedah yang ingin dilakukan. Belum ada kaedah yang benar-benar muktamad mengenai bagaimana cara untuk melaksanakannya," katanya lagi.