Dewan Rakyat: Manfaat kecanggihan teknologi, tunjuk keprihatinan tangani isu belia

Madiha Abdullah
Februari 14, 2023 06:30 MYT
Kecanggihan teknologi yang membolehkan sidang Dewan Rakyat kini ditayangkan di pelbagai platform perlu dimanfaatkan. -Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Kecanggihan teknologi yang membolehkan sidang Dewan Rakyat ditayangkan di pelbagai platform adalah satu perkembangan baik.
Namun, menurut Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Syafiq Ridhwan Jamaluddin, manfaatnya hanya akan diperoleh jika pihak terbabit menggunakan kelebihan itu dengan bijak.
"Belia khususnya memerlukan 'role model' dan memandangkan sidang Dewan Rakyat sudah boleh ditonton di banyak platform terutama di media sosial, pihak berkaitan perlu menunjukkan mereka bukan sahaja menjalankan tugas tetapi juga bertindak atas sesuatu perkara.
"Banyak komen yang ditinggalkan, harapnya ia diambil berat sebab kita tidak mahu Parlimen bersidang dalam keadaan tidak mesra rakyat.
"Parlimen adalah cerminan kepimpinan negara. Kalau orang luar lihat Parlimen cacamarba, itulah tanggapan mereka terhadap negara dan rakyat.
"Di pihak kami di MBM, kami ada akses terus dengan beberapa pemimpin dan kami akan sampaikan secara berkala sebarang isu berbangkit," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Selasa.
Jelasnya, belia sememangnya sudah jemu dan muak dengan drama politik yang tidak membina dan tidak memperkasa anak muda yang akhirnya menyebabkan pelbagai kesan secara langsung kepada belia.
"Tolak tepi hal pandemik, kita tetap tidak boleh nafi drama politik sejak PRU14 memberi kesan kuat dan impak signifikan kepada belia, sebagai contoh dalam aspek pendidikan kita tertinggal, kemakmmuran ekonomi serta pelaburan terjejas dan akhirnya membawa sehingga ke hari ini.
"Kami harap semua pihak menjunjung titah Yang diPertuan Agong dan kerajaan perpaduan fokus dengan agenda pembangunan negara yang lebih teratur.
"Cukuplah berpolitik, fikirlah tentang negara kerana kami mahu mewarisi negara yang kuat nilai moral dan ekonominya," tegasnya.
Beliau juga mengharapkan pembentangan Bajet 2023 minggu depan akan turut memfokuskan kepada aspek-aspek yang menjadi kebimbangan anak muda seperti peluang pekerjaan berkualiti dan gaji bermaruah, selain penekanan terhadap memperkasa sistem pendidikan.
Pantau Kerajaan Baharu: Persiapkan belia untuk memimpin
#Dewan Rakyat #Syafiq Ridhwan Jamaluddin #Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia #MBM
;