Dewan Rakyat: Malaysia cadang dapatkan pandangan China mengenai AUKUS - Hishammuddin
Umavathi Ramayah
September 22, 2021 15:51 MYT
September 22, 2021 15:51 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia akan mendapatkan pandangan daripada China khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS.
Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan, beliau akan mengadakan lawatan kerja ke negara itu dalam masa terdekat.
"Saya bercadang untuk mengadakan lawatan kerja singkat ke China dalam masa terdekat. Selain daripada hospital medan, perkara lain adalah untuk mendapatkan pandangan mereka tentang AUKUS yang diumumkan tiga negara itu dan juga tindakan mereka susulan pengumuman ini.
"Insyaallah saya akan meneliti dan mengimbangi kuasa-kuiasa besar dan saya tengok kalau ianya tak dibendung dan kekuatan kita bukan persendirian, kuasa kita adalah 10 negara ASEAN bersatu melihat bagaimana kedudukan, kedaulatan dan keselamatan kita di rantau ini dapat dipertahankan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini yang membangkitkan sama ada Malaysia akan dilibatkan dalam AUKUS.
Malaysia sebelum ini menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.
Mengulas lanjut, selain mendekati Malaysia bagi kerjasama tiga hala itu, Hishammuddin menyarankan Australia untuk menyantuni Brunei yang merupakan Pengerusi ASEAN.
Menurutnya, dalam panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Australia, Peter Dutton, dua hari lalu, beliau menyatakan adalah penting untuk Australia turut mendekati negara-negara CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam) serta negara yang dekat dengan China bagi mendapatkan pandangan mereka.
Katanya, sekiranya pendekatan diplomasi tidak digunakan bagi mendekati kuasa-kuasa besar, sebarang perkara yang tidak diingini boleh mencetuskan situasi yang boleh menjejaskan rantau ini.
Dalam pada itu, mengenai keselamatan ruang udara negara, beliau berkata perkara itu sentiasa dipantau oleh sistem radar pertahanan udara jarak jauh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
*Jom kita pantau apa Ahli Parlimen buat pada 13 hingga 15 September; 20 hingga 23 September; 27 hingga 30 September; 4 hingga 7 Oktober; dan 10 hingga 11 Oktober di sini.